
PETALING JAYA: Bank berdepan cabaran untuk mencatat penilaian semula lebih tinggi susulan ketidaktentuan baharu dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang menjejaskan keterlihatan pendapatan bukan faedah (NOII), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Bank pelaburan berkata, jualan besar-besaran dalam pasaran bon baru-baru ini tidak dijangka menjejaskan pendapatan keseluruhan sektor perbankan.
“HLIB Research mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor perbankan, dengan kebimbangan utama kini adalah kemungkinan berlakunya penetapan semula harga bon berulang sebelum hasil pelaburan semula yang lebih tinggi dapat membantu meningkatkan pulangan daripada pegangan sekuriti bank.
“Cabaran lebih besar bukan kejutan MGS pada peringkat awal, tetapi penetapan semula harga berterusan sebelum manfaat pelaburan semula dapat direalisasikan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Hasil MGS 10 tahun meningkat kepada 3.94 peratus pada 25 September berbanding 3.60 peratus pada akhir Jun, selepas mencecah paras 4.18 peratus pada 11 September.
Dengan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus, bank perlu menyerap kesan penilaian berdasarkan nilai pasaran (MTM) susulan kenaikan hasil bon jangka panjang tanpa peningkatan sepadan dalam hasil pinjaman yang didorong oleh kadar dasar.
HLIB Research berkata keadaan itu mewujudkan ketidakseimbangan dalam jangka pendek apabila kerugian MTM diiktiraf serta-merta, manakala manfaat daripada hasil pelaburan semula yang lebih tinggi hanya muncul apabila sekuriti matang.
“MTM sakit dahulu, manfaat pulangan pegangan kemudian,” katanya.
Menurut firma itu, persekitaran kadar semasa lebih merupakan isu berkaitan keterlihatan pendapatan berbanding ancaman terhadap asas sektor perbankan.
Risiko berkenaan juga boleh berterusan berikutan hubungan yang semakin kukuh antara hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan MGS.
Pada peringkat bank, AMMB Holdings Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) mempunyai pendedahan tertinggi terhadap turun naik NOII akibat pergerakan MGS dalam tempoh terdekat. – UTUSAN
The post Ketidaktentuan MGS jejas prospek pendapatan bukan faedah bank appeared first on Utusan Malaysia.



