Ketua isi rumah B40 disaran berbelanja di pasar raya tawar diskaun di bawah Pakej Rahmah

2 Mar 2023 • 9:35 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available
Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah)/FOTOBERNAMA

image is not available

KOTA BHARU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (gambar) menyarankan ketua isi rumah B40 supaya berbelanja di pasar raya yang bersetuju menawarkan diskaun di antara tiga hingga 30 peratus bagi 12 jenis barangan asas di bawah Pakej Rahmah.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam sesi libat urus bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini.

“Inisiatif ini memang menjimatkan dan sangat bermakna kepada golongan sasar pada masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Bakul Rahmah dan Peralatan Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Salahuddin juga mengakui beliau belum berpuas hati dengan apa yang dicapai dalam tempoh 100 hari memimpin KPDN dan masih banyak yang perlu dilaksana bagi memastikan rakyat merasai nikmat di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sudah ada pelbagai inisiatif di bawah Program Payung Rahmah namun sebagai Menteri, saya mendapati masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan perlu dilaksanakan dengan pantas.

“Kita kena kaji apa lagi yang boleh menggembirakan rakyat dan mengenal pasti apa pula yang tidak menggembirakan mereka... insya-Allah, KPDN akan benar-benar memastikan tanggungjawab yang diberikan ini dilakukan sebaik mungkin,“ katanya. - Bernama