Ketua jabatan, ketua polis daerah digesa perkukuh integriti, tadbir urus cekap

17 Feb 2023 • 2:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JASIN: Semua ketua jabatan dan ketua polis daerah di Melaka digesa melipatgandakan usaha dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus cekap dalam memberi perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata perkara itu selaras dengan pelaksanaan segala inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020-2024.

“Tugas dan tanggungjawab dipikul oleh polis kini amat berat terutama dalam kepesatan perkembangan teknologi selain terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran baharu yang menuntut corak pengurusan dan pengoperasian dapat menyesuaikan peranan terasnya.

“Ini termasuklah menggunakan segala sumber yang ada secara strategik bagi memastikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dapat diberikan kepada masyarakat di samping memastikan kesejahteraan dan keamanan terpelihara,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Jasin yang baharu DSP Ahmad Jamil Radzi menggantikan pemangkunya ASP Mohd Fadzli Othman.

Ahmad Jamil, 45, yang baru menamatkan pengajian dalam Sarjana Sains Sosial (Sains Kepolisan) di Maktab PDRM tahun lepas dilantik jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, katanya beliau komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan lebih mendekati masyarakat dalam membanteras dan mencegah masalah jenayah bagi menjaga ketenteraman awam.

“Saya juga mengharapkan sokongan daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kegiatan jenayah di daerah Jasin,“ katanya yang telah berkhidmat lebih 22 tahun. - Bernama