Ketua Jurulatih TFC Direhatkan Serta-merta

LocalFootball
26 Dec 2025 • 12:18 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ketua Jurulatih TFC Direhatkan Serta-merta

Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memaklumkan bahawa Ketua Jurulatih pasukan, Badrul Afzan Razali, telah direhatkan daripada tugasnya berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi kelab, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dan persetujuan bersama Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB.

“Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB telah memutuskan untuk merehatkan Ketua Jurulatih, Badrul Afzan bin Razali, berkuat kuasa serta-merta,” tulis kenyataan TFCSB yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi.

Menurut BERNAMA, keputusan ini dibuat susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkembangan itu dimaklumkan melalui kenyataan media di laman Facebook rasmi kelab selepas menilai semua aspek prestasi dan perkembangan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala FA dan Liga Super setakat ini.

Ketua Jurulatih Interim dilantik

Sehubungan itu, TFCSB mengumumkan pelantikan Penolong Jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, sebagai Ketua Jurulatih Interim bagi mengendalikan pasukan sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu dibuat secara rasmi.

Dalam kenyataan sama, pihak kelab turut merakamkan penghargaan kepada Badrul Afzan atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan.

“Sehubungan dengan keputusan tersebut, pihak kelab ingin mengumumkan bahawa Tengku Hazman Raja Hassan, selaku Penolong Jurulatih, telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi.

“Dengan ini, TFCSB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan bin Razali atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan,” tulis kenyataan TFCSB yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi,” tambah kenyataan itu.