Seorang ketua kampung di Boyolali, Jawa Tengah, Indonesia, yang dikenali sebagai ‘SR’, ditangkap berkhalwat dengan seorang janda. Kejadian berlaku pada malam Jumaat lalu, 6 Disember 2024, apabila SR didapati berada di rumah wanita tersebut.
Terdahulu SR dilihat menaiki motosikal yang diparkir di bawah pokok berdekatan rumah janda berkenaan.
Penduduk kampung mula berasa curiga apabila melihat kehadiran motosikal itu, lalu mencari keberadaan SR di sekitar kawasan, termasuk di rumah dan tempat biasa dia melepak. Namun, SR hanya ditemui ketika dia keluar dari rumah wanita itu pada jam 11 malam, yang mendorong para penduduk bertindak menangkapnya.
Kahwin tanpa pengetahuan isteri pertama
Ketika disoal siasat oleh penduduk, SR mendakwa dia telah berkahwin dengan janda tersebut secara tidak berdaftar sejak sebulan lalu. Pernikahan itu disaksikan oleh bapa janda berkenaan sebagai wali, manakala anaknya yang masih di bawah umur menjadi saksi.
Namun, isteri SR langsung tidak dimaklumkan mengenai perkahwinan ini, menyebabkan penduduk kampung menganggap perkahwinan tersebut tidak sah. Mereka menuntut SR bernikah semula di hadapan isteri pertama serta disaksikan penduduk kampung bagi menjaga keharmonian masyarakat.
Penduduk kesal dengan tindakan Ketua Kampung
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, perbuatan SR sangat tidak wajar. Sebagai ketua kampung, dia seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada penduduk. Bukannya keluar malam dan berada di rumah janda.
Selain itu, perkahwinan tersebut tidak memenuhi rukun serta syarat yang ditetapkan, kerana hanya ada seorang saksi yang masih di bawah umur.
Kenyataan dari Pejabat Agama setempat
Pegawai Pejabat Agama Daerah Cepogo Boyolali, Saiful Anwar, menjelaskan bahawa perkahwinan tidak berdaftar adalah sah secara agama jika rukun dan syarat dipenuhi, tetapi tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak dicatatkan di Pejabat Agama.
Namun, dalam kes SR, saksi perkahwinan hanya seorang dan masih di bawah umur, menjadikan perkahwinan tersebut tidak sah menurut Islam.
“Kalau perkahwinan tanpa saksi yang sah, ia tidak sah menurut syariat Islam. Kajian juga menunjukkan kebanyakan perkahwinan tidak berdaftar gagal memenuhi syarat rukun yang diperlukan,” jelas Saiful.
Penduduk kampung berharap tindakan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak, terutamanya pemimpin, untuk menjaga integriti serta nama baik mereka. – Agensi
The post Ketua Kampung ditangkap berkhalwat dengan janda, dipaksa bernikah di hadapan isteri appeared first on The Reporter.



