SHAH ALAM, 3 FEB: Seramai 373 ketua kampung tradisi di Selangor menerima komputer riba berserta data internet percuma selama setahun bagi memudahkan urusan perkhidmatan dan komunikasi dengan penduduk.
Dato’ Menteri Besar berkata pendekatan tersebut memastikan kumpulan yang bertindak sebagai ejen pelaksana dasar negeri dapat beralih ke era digitalisasi sekali gus memperkemaskan pentadbiran peringkat kampung.
“Digitalisasi bukan terhad untuk penjawat awam, pelajar sahaja sebaliknya semua pihak. Ketua kampung juga perlu kerana mereka merupakan ejen pentadbiran negeri.
“Kena bersedia dan melakukan perubahan ke arah digital. Kalau ada keperluan, kita akan bagi latihan supaya mereka juga dapat membimbing penduduk ke arah tuju negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berucap pada majlis amanat Dato’ Menteri Besar bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tradisi dan penyerahan komputer riba di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, malam tadi.
Amirudin berkata ketua kampung perlu memiliki kemahiran teknologi maklumat terutama penggunaan data bagi memudahkan mereka memimpin sekali gus membantu urusan pentadbiran negeri.
“Sebagai ketua kampung, (sekarang) kita kena ubah pendekatan. Kena kuasai ilmu data, maklumat. Tambah-tambah yang miliki penduduk ramai. Kemahiran dalam teknologi maklumat memudahkan kita menyelia kebajikan penduduk, ” katanya.


The post Ketua kampung tradisi di Selangor terima komputer riba, internet percuma appeared first on Selangorkini.


