Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak antara empat maut dihempap pokok

3 Aug 2026 • 6:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak antara empat maut dihempap pokok

BENTONG: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, isteri, anak dan adik iparnya maut selepas kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke pintu gerbang Janda Baik di sini hari ini.

Mangsa yang maut, Mohd. Radzi Rahimi, 35, isteri, Nuriani Mohammad Jafri, 36, dan anak pasangan itu yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim. Turut maut adik Nuriani, Mohammad Nizam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai kembar kepada mangsa kanak-kanak yang maut, terselamat namun mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota polis bersama agensi penyelamat bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap kenderaan dinaiki lima mangsa sehingga menyebabkan empat daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan, manakala kesemua mayat dibawa ke Hospital Temerloh bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan awal juga mendapati dua kanak-kanak lelaki yang berada di dalam kenderaan itu dipercayai pasangan kembar berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemukan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan pokok berkenaan tumbang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.05 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

Menurutnya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik yang berada kira-kira 10 kilometer dari lokasi tiba pada pukul 1.12 petang dan terus memulakan operasi menyelamat mangsa. – UTUSAN

 

The post Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak antara empat maut dihempap pokok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved