Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM image is not available johardy23/02/2026 - 07:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Feb - Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail, bakal menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai hari ini.

 

Pelantikan Ashwad adalah susulan peletakan jawatan Suhaimi yang menamatkan perkhidmatan beliau pada Jumaat lalu, selepas hampir tiga tahun menerajui media kerajaan itu.

 

Pengumuman rasmi pelantikan Ashwad oleh Kementerian Komunikasi dijangka dibuat hari ini.

 

Keputusan Ashwad menyertai media kerajaan agak mengejutkan pemerhati dan wartawan yang mengenalinya sekian lama.

 

Namun, memandangkan beliau diketahui umum memang anak didik Suhaimi, yang sebelum ini memilih Ashwad bagi menggantikan tempatnya di Astro Awani dan kini menggantikan pula tempatnya di RTM, langkah itu tidak sukar diteka.

 

 

image is not available
"Jumpa cikgu.Terima kasih, Cekmi" kata Ashwad dalam posting IG bertarikh 8 Februari 2026

 


Malah, ada yang menarik nafas lega berbanding beberapa nama selebriti yang dispekulasi menggantikan Suhaimi sebelum ini.

 

“Sekurang-kurangnya Ashwad tidak ada isu menerbitkan drama yang hendak dipaksa tayang di RTM,” kata sumber di Angkasapuri.

 

Difahamkan, Ashwad merupakan antara kumpulan wartawan muda yang menjadi nukleus semasa penubuhan Astro Awani kira-kira 19 tahun lalu.

 

Beliau telah menjadi Ketua Pengarang Astro Awani sejak lima tahun lalu dan mengumumkan keputusan meninggalkan saluran berita itu kepada warga kerja dalam satu majlis town hall tertutup pada 16 Februari lepas.

 

Beliau terkenal bukan sahaja dengan kemahiran pengurusan, malah memiliki skil perhubungan awam yang tinggi.

 

Penonton Astro Awani pasti mengingati beliau sebagai seorang daripada anggota delegasi Malaysia dalam misi flotila kebebasan Gaza pada 2010 yang menaiki kapal MV Mavi Marmara yang dirampas, di mana Ashwad membuat liputan langsung ketika itu, menunjukkan keberanian dan dedikasi beliau dalam liputan antarabangsa.


 

image is not available

 


Berusia 40 tahun, wartawan kelahiran Alor Setar itu kini menjadi Ketua Pengarah Penyiaran termuda yang pernah dilantik, menandakan era baharu dalam kepimpinan penyiaran awam negara.

 

 

 

 

 

 

Jawatan Ketua Pengarang Astro Awani pula akan disandang oleh seorang lagi wartawan kanan stesen berita tersebut, Zaiful Mohd Ariffin. - DagangNews.com

Terkini featured standard