
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa Ketua Warden mengarahkan beberapa pelajar memindahkan Zara Qairina Mahathir sejauh 20 meter dari lokasi dia ditemui.
Ketua Warden SMKA Tun Mustapha Ustaz Azhari Abd Sagap berkata dia meminta pelajar bersama seorang pengawal keselamatan Linah untuk memindahkan Zara berhampiran rumah warden kerana dia berhasrat menghantarnya ke hospital menggunakan kenderaan sendiri.
Bagaimanapun, katanya, kerana mereka merasa berat ketika mengangkat Zara, dia membatalkan hasrat itu.
“Pada mulanya rancangan saya adalah untuk membawanya terus ke hospital dengan kereta saya tetapi agak sukar. Jadi saya letakkan dia dengan berhati-hati berhampiran rumah warden, mengalas kain sarung di bawahnya supaya dia tidak diletakkan begitu sahaja,” katanya.
Menurut Azhari, sebaik sahaja dia tiba di lokasi selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan, dia kemudian mengarahkan pelajar-pelajar untuk memindahkan Zara.
“Saya minta pelajar segera mengangkatnya. Pelajar bersama Linah cuba mengangkat tetapi selepas beberapa langkah mereka terasa berat.
“Kemudian saya turut bantu dengan dua pelajar menyokong kepala dan kakinya. Kami kemudian meletakkan Zara berhampiran rumah warden kerana tempat itu lebih terlindung dan jauh daripada pandangan pelajar lain,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, yang bertanya mengapa Zara dipindahkan dan tidak dibiarkan sehingga pihak berkuasa atau ambulans tiba.
Fairuz: Mengapa cikgu buat arahan itu?Azhari: Ketika saya tiba di tempat kejadian, saya tidak nampak kecederaan serius. Saya hanya perasan kaki kirinya cedera. Selepas diangkat, saya nampak darah di tepi longkang. Niat saya hanyalah untuk segera membawanya ke hospital.
Ditanya mengapa Zara tidak dibawa ke bilik sakit berhampiran, Azhari menjelaskan bahawa bilik itu, yang baru diwujudkan, kini dihuni oleh ketua pelajar.
“Saya tidak mahu meletakkannya di situ kerana ia dihuni Ketua Pelajar dan jika saya letak di situ pelajar-pelajar di dalam akan trauma. Saya sendiri pun trauma ketika mengangkatnya,” katanya.
Azhari, yang berkhidmat sebagai warden sejak Februari, berkata keputusannya dibuat dengan niat baik dan berdasarkan pemerhatian segera terhadap keadaan Zara.
Menurut Azhari, apabila dia tiba di asrama kira-kira enam minit kemudian, dia mendapati pelajar berusia 13 tahun itu terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang.
Dia mendapati Zara masih bernafas, mengeluarkan bunyi “seperti berdengkur ketika tidur”, sambil menambah ketika itu dia bersama Linah dan beberapa pelajar lain berada di lokasi.
Azhari berkata dia segera mendail 991 untuk mendapatkan bantuan kecemasan pada jam 3.17 pagi sebelum menghubungi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah Cikgu Asnie serta memaklumkan pengetua Ustazah Shaharoom Hashim, secara bersemuka.
Dia juga cuba menghubungi ibu bapa Zara tetapi gagal dan sekitar jam 3.47 pagi dia sekali lagi menghubungi ambulans. Ambulans tiba tidak lama sebelum jam 4 pagi dan membawa Zara ke hospital.
Azhari turut memberi keterangan bahawa pada jam 8.16 pagi hari sama, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

