
TAWAU: Ketua Wira Warisan Tawau, Ismail Sabran bersama kira-kira 1,500 ahli, termasuk pemimpin daripada 30 cawangan DUN Apas dan Balung mengumumkan keluar parti pada Ahad.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat berkata, tindakan mereka itu dilakukan dengan kerelaan hati tanpa paksaan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, mereka akan menghantar borang permohonan keahlian Parti Gagasan Rakyat Sabah secepat mungkin mengikut prosedur yang betul, sebagai menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, tindakan yang diambil itu dilakukan selepas perbincangan bersama ahli dan mereka sepakat mahukan kepimpinan yang telus menjaga hak-hak rakyat Sabah.
“Kita keluar parti bukan sekadar ‘keluar parti’ tetapi kita mahu bekerja agar dapat memastikan tuntutan kita di dalam MA63 dapat dipenuhi kerajaan perpaduan di bawah gabungan parti-parti tempatan Sabah,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Ahad.
Ismail berkata, faktor utama yang mendorong mereka bertindak meninggalkan Warisan adalah kerana suara akar umbi tidak didengar ketika mereka mahu agar parti itu juga bergabung dengan parti kerajaan (GRS) dalam usaha membentuk Blok Borneo bersama Sarawak.
Mereka juga berpendapat, sudah tiba masanya konflik politik di Sabah dihentikan dan semua pemimpin tempatan seharusnya bersatu demi pembangunan negeri ini yang lebih baik.
Katanya, melihat kepada sokongan dan gabungan parti-parti tempatan di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau yakin perkara itu akan menjadi titik permulaan kepada kesatuan pemimpin dan rakyat negeri ini.
Ditanya sekiranya tindakan tersebut ‘melumpuhkan’ Warisan Tawau, Ismail berkata, sayap Wira Tawau kini lumpuh, namun, bahagian masih lagi wujud.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
