liza29/04/2026 - 18:31 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 April – DXN Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM63.32 juta bagi suku keempat berakhir 28 Februari 2026, lebih rendah berbanding RM82.54 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya meskipun syarikat terus mencatatkan jualan yang stabil sepanjang suku berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DXN berkata hasil kumpulan bagi suku tersebut meningkat sedikit kepada RM474.91 juta berbanding RM458.9 juta pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan permintaan terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan DXN kekal kukuh walaupun persekitaran kos operasi meningkat.
“Bagi tempoh sama, keuntungan sebelum cukai kumpulan juga susut kepada RM96.11 juta daripada RM132.04 juta sebelumnya susulan peningkatan kos bahan mentah, perbelanjaan operasi serta perubahan dalam struktur kos keseluruhan kumpulan.
“Pada masa sama, DXN turut mencatatkan kenaikan dalam kos jualan dan perbelanjaan lain yang meningkat kepada RM243.97 juta berbanding RM200.78 juta pada suku sama tahun lalu yang memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan bagi suku berkenaan,” kata DXN dalam makluman tersebut.
Walaupun begitu, kumpulan masih mencatatkan prestasi operasi yang positif dengan hasil daripada aktiviti operasi sebanyak RM95.94 juta, menunjukkan operasi teras syarikat masih mampu menjana keuntungan walaupun berdepan cabaran kos.
Bagi tempoh setahun penuh berakhir 28 Februari 2026, DXN mencatatkan keuntungan bersih RM283.40 juta, lebih rendah berbanding RM334.23 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan tahunan pula menurun sedikit kepada RM1.9 bilion daripada RM1.91 bilion.
DXN juga mencatatkan peningkatan dalam jumlah aset keseluruhan kepada RM2.16 bilion berbanding RM2.09 bilion pada tahun sebelumnya didorong oleh pertumbuhan dalam aset bukan semasa serta pengembangan operasi kumpulan.
Dari segi kedudukan tunai, kumpulan memegang tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM617.38 juta, walaupun sedikit lebih rendah berbanding RM672.17 juta tahun sebelumnya.
Jumlah liabiliti kumpulan pula berkurangan kepada RM722.6 juta berbanding RM750.91 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan pengurusan hutang yang lebih terkawal walaupun terdapat peningkatan dalam aktiviti pelaburan.
DXN turut mengumumkan pembayaran dividen berterusan kepada pemegang saham dengan jumlah keseluruhan sekitar RM177.61 juta bagi tahun kewangan 2026. Syarikat mengekalkan dasar pulangan kepada pemegang saham walaupun keuntungan sedikit menurun.
Secara keseluruhan, DXN mencatatkan prestasi kewangan yang stabil bagi tahun kewangan 2026 dengan keuntungan yang lebih rendah tetapi kedudukan aset, tunai dan operasi masih kukuh. Syarikat dijangka terus memberi tumpuan kepada kecekapan kos dan pengukuhan margin pada masa akan datang. - DagangNews.com






