Keyfield berkembang tepat pada masanya, Kenanga Research mula liputan dengan saranan Outperform

Business & Finance
19 Apr 2024 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keyfield berkembang tepat pada masanya, Kenanga Research mula liputan dengan saranan Outperform

herman

19/04/2024 - 11:53

KUALA LUMPUR 19 April - Kenanga Research memulakan liputan ke atas Keyfield International Bhd dengan saranan 'Outperform' dan harga sasaran (TP) RM1.90 sesaham - prospek yang cerah susulan pengembangan pada tepat masanya.

Menurut firma penyelidikan itu, ini berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) ke hadapan sebanyak 11 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) dicairkan sepenuhnya pada 17.3 sen untuk tahun kewangan 2025 (FY25).

"Dengan fokus pada subsegmen kapal penginapan berenjin (AWB) dalam ruang kapal sokongan luar pesisir (OSV), Keyfield telah menempatkan kedudukan dengan baik untuk memanfaatkan peningkatan kitaran bagi pasaran AWB.

"Pasaran AWB sedang berkembang pesat. Kami menjangkakan bahawa permintaan untuk AWB pada tahun 2024 akan melepasi kemuncak yang berlaku pada tahun 2019," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga Research, ini disebabkan peningkatan dalam penyelenggaraan aktiviti huluan dan Hook-Up & Commissioning (HUC) di Malaysia apabila pelanggan mempercepatkan usaha penyelenggaraan huluan mereka.

Katanya, Keyfield mempunyai kelebihan susulan pengembangan kaplanya secara strategik yang menyaksikan purata usia kapal OSV Keyfield adalah lapan tahun.

Ujar firma penyelidikan itu, ini lebih baharu daripada purata industri iaitu sepuluh tahun.

"Kapal baharu bukan sahaja menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik tetapi juga menanggung kos penyelenggaraan yang lebih rendah," katanya.

Menurut Kenanga Research, tambahan pula kebanyakan AWB Keyfield dilengkapi dengan sistem DP2 yang membolehkan operasi dalam persekitaran luar pesisir.

"Keupayaan ini menjadikan OSV Keyfield lebih menarik kepada bakal pelanggan, yang berpotensi membenarkan kapal syarikat menguasai DCR yang 10-30% lebih tinggi daripada purata industri dalam pasaran semasa," jelasnya.

Menurut Kenanga, penstrukturan semula kewangan diunjurkan mengurangkan kos kewangan syarikat sebanyak 64% pada FY24, sekali gus meningkatkan keuntungannya.

"Ia juga akan memberikan Keyfield fleksibiliti untuk mempertimbangkan untuk memperoleh satu atau dua lagi kapal dalam jangka terdekat hingga sederhana." ujarnya..- DagangNews.com