Keyfield, PT Elnusa Trans Samudera bekerjasama teroka perkhidmatan marin sektor minyak dan gas di Indonesia

WorldBusiness & Finance
14 May 2025 • 6:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keyfield, PT Elnusa Trans Samudera bekerjasama teroka perkhidmatan marin sektor minyak dan gas di Indonesia

image is not available

14/05/2025 - 18:23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Keyfield International Berhad menerusi Keyfield Offshore Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Elnusa Trans Samudera (ETSA), anak syarikat kepada PT Elnusa Tbk bagi meneroka dan menjalankan perkhidmatan marin, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, serta industri berkaitan lain di seluruh Indonesia.

ETSA merupakan syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sokongan pengangkutan marin untuk industri minyak dan gas di Indonesia.

Kerjasama itu adalah bagi membentuk satu rangka kerja kerjasama antara kedua-dua pihak, yang bertujuan menggabungkan keupayaan dan sumber daya masing-masing.

Menerusi MoU itu, ETSA bertanggungjawab dalam mendapatkan dan menjamin tender, manakala Keyfield akan menyokongnya dengan menyediakan aset marin terpilih, khususnya kapal pemasangan kabel dan kapal bawah laut, serta kru berpengalaman untuk mengendalikan aset tersebut.

Setelah projek berjaya diperoleh, kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian berasingan bagi menentukan terma dan syarat bagi projek yang diperoleh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee berkata, kerjasama itu menandakan langkah penting dalam rancangan pengembangan antarabangsa kumpulan dan pihaknya berhasrat menyediakan perkhidmatan kapal yang boleh dipercayai dan disesuaikan dengan sektor luar pesisir Indonesia.

"Dengan menggabungkan kepakaran teknikal dan keupayaan armada Keyfield dengan pengetahuan pasaran dan kehadiran tempatan ETSA, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menawarkan rumusan sokongan marin yang menyeluruh di salah satu pasaran tenaga paling dinamik di Asia Tenggara.

Presiden Pengarah PT Elnusa Tbk, Bachtiar Soeria Atmadja berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh sinergi dalam sektor perkhidmatan marin dan luar pesisir, khususnya dalam menyokong operasi luar pesisir yang semakin kompleks dan mencabar, serta pembangunan perkhidmatan berkaitan.

"Kami komited untuk terus meluaskan keupayaan perkhidmatannya, termasuk melalui anak syarikat kami, ETSA, yang memainkan peranan penting dalam menyokong industri maritim negara,” katanya. - DagangNews.com

standard