KFA yakin KDA FC mampu rebut tangga kedua Liga Super

Football
24 Nov 2023 • 1:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Wisma KFA di Jalan Stadium, di sini, pada Khamis.

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) yakin Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berada pada landasan tepat untuk merebut tangga kedua Liga Super pada musim ini.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelab milik Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar itu dilihat mampu menamatkan Liga Super pada kedudukan itu dalam melangkah penghujung musim.

"Insya-ALLAH, boleh.Kita sentiasa menyokong (dan) KDA FC akan mampu mencapai hasrat peminat bola sepak di Kedah untuk berada di tangga kedua.

"KFA dan seluruh ahli gabungan akan terus pasukan KDA FC yang membawa citra Kedah dalam pertandingan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wisma KFA di Jalan Stadium, di sini, pada Khamis.

Ketika ini, KDA FC berada di tangga ketiga dengan 50 mata,sekaligus mengejar dekat pasukan Selangor FC di tangga kedua dengan 52 mata.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, KFA sentiasa memberi sokongan dan sedia membantu pasukan bola sepak di Kedah selaku badan induk bola sepak negeri.

Muhammad Sanusi berkata, ia termasuklah bantuan tunai bagi meringankan beban kewangan dihadapi KDA FC.

"Jumlahnya saya tak boleh nyatakanlah tetapi tetap memberi (bantuan kewangan) termasuklah isu gaji itu sebagai suntikan untuk mereka.KFA akan tolong," katanya.