Khaidir kini tauke durian

LocalFood
16 Jul 2025 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khaidir bersama hasil durian dusun miliknya.

image is not available
Penjagaan rapi yang dilakukan oleh Khaidir untuk memastikan kualitidurian di dusun miliknya.

TEMERLOH – Daripada dunia kewartawanan ke dusun durian, itulah transformasi hidup bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad, 63 kini menanam hampir 300 pokok durian di Kampung Durian Tikus di sini.

Figura disegani dalam dunia kewartawanan dan penyiaran negara itu ligat ‘bermain’ dengan tanah, baja dan buah durian termasuk varieti premium seperti musang king; IOI; D24 serta duri hitam.

Beliau juga turut menanam benih durian klon baharu yang dijangka boleh menyaingi musang king pada masa depan seperti tupai king, jawi super dan damak king (Malaysia) serta radja (Indonesia) dan nok kracip (Thailand).

Menurutnya, keputusan untuk menceburi bidang pertanian sepenuhnya dibuat selepas bersara sejak 11 tahun lalu apabila merasakan sudah tiba masanya untuk kembali kepada alam semula jadi.

**media[3204076]**

“Saya tidak mahu hanya duduk diam selepas bersara. Saya percaya tanah tidak pernah menipu. Kalau kita jaga betul-betul, hasilnya bukan saja lumayan, tapi memuaskan hati.

"Pelbagai varieti ditanam di dusun ini yang menggunakan baja organik rumusan dan formula sendiri," kata pemilik Hybrid Nursery itu.

Ujarnya, tidak mudah membina dusun yang produktif dan memerlukan ilmu, disiplin dan kesabaran sama seperti dunia kewartawanan yang menekankan ketepatan dan etika.

“Saya anggap ini sebagai ‘berita’ baru saya. Bezanya, dari berita di kaca TV ke berita dalam bentuk hasil tani,” katanya berseloroh.

Kini, dengan keluasan dusun seluas 2.4 hektar, Khaidir juga meneroka dunia pertanian dengan menawarkan khidmat sebagai perunding dengan menyediakan Pakej Pembangunan Dusun Durian Moden (DDM) berskala besar.

"Selain jual sendiri dari dusun, saya turut turun padang menyertai pelbagai lokasi terbuka seperti pekan sehari dan lain-lain," tambahnya.

Turut diusahakan dan dijual di dusun itu anak pokok hibrid durian pelbagai varieti dan tanaman lain antaranya ciku mega dan avokado.

 

 

View Original Article