Khairul Aming Terima Rawatan Akibat Dehidrasi, Netizen Titip Doa & Nasihat Supaya Kurangkan Beban Kerja

LocalHealth & Fitness
22 Jan 2026 • 8:57 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Nama Khairul Aming (KA) bukan lagi asing dalam dunia media sosial dan keusahawanan di Malaysia. Setiap langkahnya sering menjadi perhatian, bermula daripada video masakan ringkas yang dekat di hati ramai, projek berskala besar, sehinggalah kejayaannya membina empayar perniagaan sendiri.

Namun, sebentar tadi satu perkongsian ringkas KA di Threads mencuri perhatian apabila dia berkongsi keadaan kesihatannya yang membuatkan peminat sedikit risau.

Gambar Terbaring Dengan Drip Undang Kebimbangan

Dalam gambar yang dimuat naik, KA dilihat terbaring dengan tangan disambungkan kepada drip, dipercayai sedang menerima rawatan di hospital atau klinik. Perkongsian tersebut mengejutkan ramai memandangkan KA sebelum ini sangat aktif melayan pelanggan dan peminat, termasuk ribuan individu yang hadir menyokongnya.

Tanpa drama berlebihan, KA kekal dengan gaya santai yang menjadi identitinya apabila menulis kapsyen ringkas:

“Selepas bergambar dengan 7,000 customers. Doctor suruh minum air banyak-banyak. Dehydration. Tapi overall ok je, cuma kena cukup rehat. Jangan lupa minum air guys.”

Doa, Teguran & Nasihat Ikhlas Daripada Netizen

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen membanjiri hantaran tersebut dengan doa agar KA segera sembuh. Dalam masa sama, ramai yang meluahkan kebimbangan melihat tahap komitmen KA yang dilihat terlalu memaksa diri.

Ada yang menyifatkan tubuhnya seolah-olah sudah “dipush” ke tahap maksimum dan bernasib baik kerana tidak rebah akibat keletihan melampau. Malah, segelintir netizen mengingatkan bahawa kesihatan perlu didahulukan berbanding memenuhi tuntutan kerja dan kehendak peminat.

Selain itu, tidak kurang juga yang menzahirkan penghargaan atas usaha dan kerja keras KA selama ini, sambil menasihatinya supaya berehat seketika dan tidak mengambil mudah soal kesihatan. Bagi mereka, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak bermakna jika kesihatan terabai.

Untuk rekod, Khairul Aming sebelum ini sibuk menguruskan pelbagai komitmen perniagaan serta melayan ribuan pelanggan dan peminat, sekali gus mencerminkan dedikasinya yang tinggi terhadap jenama dan komuniti yang dibinanya.

Apa pun, TMU mendoakan agar KA cepat sembuh sepenuhnya dan kembali aktif seperti biasa, namun dengan kesihatan yang lebih terjaga. – The Malaysian Update

The post Khairul Aming Terima Rawatan Akibat Dehidrasi, Netizen Titip Doa & Nasihat Supaya Kurangkan Beban Kerja appeared first on The Malaysian Update.