Khairy Sedih Balik Rembau, ‘Undi Saya Untuk Tok Mat’

Politics
19 Nov 2022 • 11:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perkongsian menarik Khairy di InstaStory miliknya selepas membuang undi di Parlimen Rembau, pagi tadi. - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR - ‘Terasa agak sedih balik (Rembau), tapi semoga permulaan baik hari ini di Sungai Buloh.’

Demikian perasaan penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sewaktu kembali ke Rembau pagi ini untuk mengundi bagi memilih wakil baharu di kawasan tersebut.

Malah Khairy yang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Rembau selama tiga penggal tanpa berselindung menyatakan sokongan beliau terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

“Undi saya untuk @mohamadhjhasan di Rembau,” katanya yang turut berkongsi gambar jari yang telah dicelup dakwat sebagai tanda selesai mengundi di catatan InstaStory milik beliau.

image is not available

Terdahulu, Khairy tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Agama Hj Mohd Yatim, di Gadong, dekat Rembau pada jam 8.40 pagi.

Beliau yang memakai baju kemeja putih dan biru itu dilihat hadir seorang diri dan selesai mengundi kira-kira jam 9.28 pagi.

Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau kerana memberi laluan kepada Tok Mat yang mahu bertanding di situ.

image is not available

Kali ini beliau diletakkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang juga kubu kuat Pakatan Harapan.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di kerusi parlimen itu membabitkan Khairy, Datuk R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33. - Getaran, 19 November 2022