hamden28/04/2026 - 18:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 April – Khazanah Nasional Bhd, dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), berjaya melaksanakan penetapan harga sukuk yang ditokenkan pertama di Malaysia bernilai RM100 juta, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam transformasi digital pasaran modal negara.
Sukuk yang ditokenkan itu merupakan produk pasaran modal dalam bentuk digital berasaskan teknologi lejar teragih (Distributed Ledger Technology, DLT), yang mewujudkan “kembar digital” bagi setiap instrumen dengan rekod yang dilindungi secara kriptografi dan tidak boleh diubah suai.
Menurut Khazanah, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha meneroka keupayaan teknologi digital dalam menambah baik penerbitan serta pengurusan instrumen pasaran modal, selain memperkukuh pembangunan pasaran modal domestik.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sebagai dana kekayaan berdaulat negara, peranan Khazanah bukan sekadar menjana pulangan, tetapi turut menyokong pembangunan ekosistem pasaran modal Malaysia.
“Pelaksanaan sukuk ditokenkan ini mencerminkan usaha praktikal dalam meneroka teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan struktur penerbitan instrumen pasaran modal,” katanya.
Beliau menambah, projek perintis itu dilaksanakan secara terkawal dengan kerjasama SC bagi memastikan inovasi kewangan tersebut disokong tadbir urus yang kukuh serta memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif tersebut berpotensi mentakrif semula landskap pasaran modal Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju kewangan Islam digital di peringkat global.
Menurut beliau, pelaksanaan itu selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada inovasi, peningkatan keterhubungan pasaran dan kecekapan pelaksanaan.
“Tokenisasi berpotensi meningkatkan ketelusan, memperluas penyertaan serta menyokong pasaran yang lebih dinamik. Inisiatif ini membolehkan kami menguji potensi tersebut dalam persekitaran terkawal,” katanya.
Sukuk tersebut merupakan sebahagian daripada Program Sukuk Danum di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai sehingga RM20 bilion, dengan terbitan sulung berjangka matang satu tahun berasaskan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar.
Dengan penggunaan DLT, inisiatif ini dijangka meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan dan ketelusan pasaran, selain membolehkan akses maklumat secara berterusan kepada pemegang taruh berkaitan.
Khazanah berkata, pelaksanaan ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi kewangan Islam serta menetapkan penanda aras digital baharu bagi pasaran modal negara.
Antara institusi yang terlibat dalam inisiatif perintis ini termasuk Kumpulan CIMB, Maybank, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan OCBC Bank (Malaysia) Bhd.
Khazanah dan SC berkata, kejayaan pelaksanaan ini membuka laluan kepada fasa seterusnya dalam usaha memodenkan pasaran modal Malaysia melalui penggunaan teknologi kewangan digital secara lebih meluas. - DagangNews.com





