Khemah jual mercun terbakar, kereta dan 'food truck' turut musnah

23 Mar 2026 • 9:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khemah jual mercun di Kampung Dato' Sulaiman Menteri hangus terbakar, kereta dan food truck berhampiran turut musnah. - Foto tular

JOHOR BAHRU - Sebuah khemah menjual mercun dan bunga api musnah dalam satu kebakaran di Kampung Dato' Sulaiman Menteri, di sini, malam ini.

Sebuah kereta jenis Proton Gen2 Dan sebuah 'food truck' turut musnah dalam kejadian itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I, Nakish Nekmat berkata, seramai 11 anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.32 malam.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan khemah pasang siap yang menjual mercun dan bunga api.

"Kebakaran menyebabkan khemah berkenaan musnah kira-kira 90 peratus. Turut terlibat sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang terbakar 80 peratus serta sebuah lori food truck yang rosak sekitar 73 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air serta bantuan salur bantu mula.

“Api berjaya dikawal pada jam 8.42 malam dan operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran.

"Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.

Sementara itu, tular satu rakaman video berdurasi 44 saat di media sosial yang memaparkan kebakaran tersebut dengan api marak membakar khemah tersebut.