
PUTRAJAYA: Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan mengakui terdapat kekhilafan ketika mengulangi petikan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan ungkapan perkataan ‘balik’.
Namun, katanya, perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Pas itu Jumaat lalu berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
“Saya tidak pernah mendakwa perkataan ‘balik’ itu merupakan petikan tepat daripada ucapan Muhammad Sanusi, sebaliknya maksud tersirat ucapan itu boleh difahami oleh pendengar apabila mengikuti keseluruhan ucapan itu.
“Laporan kepada pihak polis dibuat bukan bersandarkan kepada satu frasa tertentu semata-mata, tetapi berdasarkan keseluruhan kandungan ucapan yang antara lain menyebut bahawa orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
“Bagi petikan ucapan, ‘takut tanah ni satu hari nanti kita tak tahu, tanah ni siapa punya’ pula, maksud tersirat Muhammad Sanusi itu amat jelas dan wajar dipersoalkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Dr Sathia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan petang semalam berhubung ucapan perkataan ‘balik’ yang dilontarnya ketika ceramah di Jempol baru-baru ini.
Katanya, walaupun Muhammad Sanusi tidak menyebut perkataan ‘balik’ secara langsung, kenyataan itu tetap menimbulkan rasa curiga dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Dr Sathia memaklumkan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang bagi menentukan sama ada ucapannya itu melanggar mana-mana peruntukan yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menuduh Dr Sathia memanipulasi kenyataan Muhammad Sanusi yang menyebut masyarakat Cina dan India ‘balik’ ke China dan India.
Susulan itu, Pemuda Pas mahu Dr Sathia menarik balik tuduhan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi selain beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Dr Sathia, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dr Sathia berkata, istilah ‘barua Melayu’ dan perbandingan dengan watak ‘Buang’ dalam filem Sarjan Hassan yang sinonim dengan pengkhianatan turut dilihat melampaui batas kritikan politik kerana membawa konotasi bahawa pihak yang berbeza pandangan merupakan pengkhianat kepada bangsa.
Jelasnya, kenyataan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja berpotensi membangkitkan kebencian dan memperkukuh prejudis, malah boleh mengeraskan sentimen perkauman serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. – UTUSAN
The post Khilaf sebutan ‘balik’ tidak ubah hakikat, ucapan Sanusi tetap perlu disiasat – Sathia appeared first on Utusan Malaysia.



