SHAH ALAM, 27 SEPT: Khutbah Jumaat hari ini menegaskan kesalahan dilakukan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang dibongkar ketika ini mencemar nama baik dan kesucian Islam.
Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini, kegiatan dilakukan kumpulan itu menyebabkan akidah umat Islam tergelincir selain boleh membatalkan shahadah seseorang muslim.
Lebih mendukacitakan, khutbah memaklumkan kebanyakan rumah amal bawah GISBH yang kini dalam siasatan pihak berkuasa sudah lama beroperasi termasuk di Selangor.
“Laporan menyebutkan beberapa kesalahan disyaki dilakukan GISBH penderaan pelajar, eksploitasi kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di sekolah agama kendalian GISBH sendiri.
“Kenapa ini berlaku? Apakah tujuan sebenarnya malah rumah amal ini pula tidak didaftarkan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Kenapa tidak berdaftar?,” kata teks itu.

Khutbah turut mengingatkan ibu bapa termasuk penjaga rumah amal untuk menjaga kemuliaan dan kebajikan anak masing-masing selain bertanggungjawab mencorak masa depan.
Golongan itu juga perlu mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran selamat untuk anak-anak sepanjang masa.
Pada Sabtu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mezahirkan rasa kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Terdahulu polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal, klinik, maaahad serta kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.
Ketika serbuan di Kelantan, polis menemui puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu yang ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman kumpulan itu di Kampung Panji, Kota Bahru selain ada yang dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti selain mengelak daripada dirampas pihak berkuasa.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
The post Khutbah: Jenayah, seleweng akidah terkait GISBH cemar kesucian Islam appeared first on Selangorkini.

![Intipati Khutbah Jumaat Di WP Sentuh Isu Ajaran Sesat & Selangor Kes Eksploitasi Kanak-kanak Babit GISBH [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)