Kia EV4 Buat Kemunculan Global Di Kia EV Day 2025 – Capai 630 KM!

TechnologyCars
28 Feb 2025 • 3:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Sempena Kia EV Day 2025 yang kini sedang berlangsung di Tarragona, Sepanyol, pengeluar automotif Korea itu telah memperkenalkan beberapa model terbaru mereka kepada dunia dan ini termasuk Kia EV4.

Sebelum ini, reka bentuk luarannya telah pun didedahkan, namun kali ini kita dapat melihat dengan lebih dekat perincian model elektrik serba baharu ini dalam dua bentuk badan berbeza, fastback dan hatchback.

Dua Gaya, Satu Platform

image is not availableimage is not available

Walaupun hadir dalam bentuk badan berbeza, kedua-duanya dibina menggunakan platform yang sama dengan jarak roda sepanjang 2,820 mm. Bukan sahaja berkongsi platform, kedua-dua varian ini turut menggunakan sistem rangkaian kuasa yang sama seperti model Kia EV3 yang diperkenalkan tahun lalu.

image is not available

EV4 dibangunkan dengan platform E-GMP Hyundai bersama binaan elektrikal 400 volt, dengan varian asasnya dikuasakan oleh satu motor elektrik pacuan roda depan (FWD) yang menghasilkan 201 hp (150 kW).

Bagi yang mendambakan prestasi lebih mengasyikkan, Kia mengesahkan bahawa versi dwi-motor, pacuan semua roda (AWD) dengan logo GT akan dilancarkan pada masa akan datang.

Dua Pilihan Bateri, Jarak Pemanduan Berbeza

Untuk varian asas, Kia EV4 dilengkapi dengan bateri 58.3 kWj, memberikan jarak pemanduan maksimum sehingga 430 km untuk versi fastback, manakala model hatchback mencatatkan jarak perjalanan lebih singkat dengan anggaran sekitar 410 km. Dari segi prestasi, kedua-dua model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat.

Bagi mereka yang mahukan lebih jarak pemanduan, varian pertengahan hadir dengan bateri lebih besar, iaitu 81.4 kWj. Namun, tambahan berat pada bateri ini menjejaskan masa pecutan 0-100 km/j, memperlahankannya sebanyak 0.3 saat.

image is not available

Ini bagaimanapun ‘digantikan’ dengan jarak pemanduan maksimum mencecah 630 km bagi fastback dan 590 km untuk hatchback, sekiranya menggunakan rim berukuran 17 inci.

Dari segi bateri, Kia mendakwa bahawa bateri kecil EV4 boleh dicas sehingga 80% dalam masa sepantas 29 minit, manakala bateri yang lebih besar mengambil masa kira-kira 31 minit. Namun, angka ini masih jauh di belakang model Kia dengan sistem 800 volt seperti EV6 dan EV9 yang menawarkan masa pengecasan lebih pantas.

Kabin yang Sarat dengan Teknologi

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Bahagian dalaman Kia EV4 turut menarik perhatian, di mana kedua-dua varian fastback dan hatchback dilengkapi dengan skrin digital lebar berukuran 30 inci. Paparan ini terdiri daripada sistem infotainmen, kluster meter digital penuh, serta skrin tambahan khas untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Selain sokongan sambungan mudah alih tanpa wayar, Kia EV4 turut menawarkan sistem hiburan moden dengan akses kepada perkhidmatan penstriman video seperti YouTube, Netflix dan Disney+, selain keupayaan bermain permainan video secara terus daripada skrin infotainmen.

Dari segi ruang simpanan, walaupun kedua-dua model berkongsi jarak roda yang sama, versi fastback menawarkan ruang but yang lebih luas, iaitu 490 liter berbanding 435 liter pada model hatchback.

Pelancaran Global Bermula Tahun Ini

image is not availableimage is not available

Jualan Kia EV4 fastback dijadualkan bermula pada Mac tahun ini di Korea Selatan, diikuti oleh model hatchback yang bakal memasuki pasaran Eropah pada separuh kedua tahun ini.

Kia juga merancang untuk membawa model ini ke pasaran Amerika Syarikat, namun buat masa ini, masih belum ada kepastian mengenai pelancarannya di rantau Asia-Pasifik.

image is not available