Kiddocare berjaya tarik pelaburan utama dalam Pusingan Siri A diketuai Artem Ventures

Business & Finance
27 Sep 2023 • 11:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kiddocare berjaya tarik pelaburan utama dalam Pusingan Siri A diketuai Artem Ventures

zulfadli

27/09/2023 - 11:00

KUALA LUMPUR 27 Sept - Platform perintis perkhidmatan asuhan dan penjagaan, Kiddocare berjaya menarik suntikan dana dalam Pusingan Siri A, menerusi pelaburan strategik daripada kumpulan pelabur yang diketuai Artem Ventures, dengan penyertaan daripada Gobi Partners, MSW Ventures Asia Fund X dan ScaleUp Malaysia.

Penglibatan Gobi Partners menerusi Gobi Dana Impak Fund (GDIV) yang disokong oleh Khazanah Nasional Bhd menyerlahkan peranan penting dalam memberi impak dan masa hadapan Kiddocare yang gemilang dalam ekonomi Malaysia.

Kiddocare kini berada pada kedudukan yang strategik untuk pecutan pertumbuhan dan lonjakan dalam inovasi.

Ia akan memanfaatkan pelaburan ini untuk mengembangkan platform, mencapai sasaran audiens lebih luas, dan mencipta peluang baharu untuk golongan wanita, bukan sahaja dalam sektor ekonomi penjagaan tetapi juga merentasi pelbagai sektor.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare, Nadira Yusoff berkata, misi utama pihaknya adalah menyuntik aspek profesionalisme dalam kerjaya pengasuh.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk menetapkan piawaian baharu dalam industri ini yang kurang mendapat pengiktirafan.

"Kiddocare berhasrat untuk memastikan pengasuh akan dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan sokongan yang diperlukan untuk menyediakan khidmat penjagaan yang unggul menerusi inovasi teknologi, latihan dan pensijilan yang diperlukan, kemajuan kerjaya serta jaringan keselamatan sosial.

image is not available
Nadira Yusoff (kanan) dan Pengasas Bersama dan Pengarah Komunikasi dan Penglibatan Kiddocare, Muhaini Mahmud.

"Pelaburan ini mengukuhkan azam kami untuk memartabatkan sektor penjagaan sebagai kerjaya pilihan yang dihormati dan profesional," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kiddocare yang diasaskan pada 2019 ialah sebuah platform perkhidmatan berteraskan kanak-kanak yang menghubungkan ibu bapa dengan pengasuh yang menjalani saringan latar belakang dan sedia untuk berkhidmat berdasarkan pilihan masa dan lokasi pengguna.

Pengasuh ini menjalani saringan dan latihan berdasarkan protokol Kiddocare yang ketat sebelum menyertai platform tersebut. Sebuah pasukan khidmat pelanggan yang khusus menguruskan setiap tempahan dan memberikan kemas kini secara masa nyata bagi menjamin keselamatan pengguna.

Di samping itu, Kiddocare memudahkan proses tempahan menerusi aplikasi mesra penggunanya, yang kini tersedia untuk pengguna di Lembah Klang dan daerah seperti Seremban dan Johor Bahru, dan akan berkembang ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Platform ini pada umumnya membantu memenuhi keperluan golongan ibu milenium di kawasan bandar, yang mempunyai kuasa beli yang besar dan memerlukan khidmat penjagaan kanak-kanak yang boleh dipercayai. - DagangNews.com

View Original Article