
KUALA LUMPUR: Kawasan sekitar Taman Perindustrian Jaya, Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini ditutup kepada orang awam susulan berlaku kebocoran gas amonia di sebuah kilang ais semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (gambar) berkata polis menerima panggilan MERS 999 mengenai kejadian itu pada 10.17 malam tadi dan bergegas ke tempat kejadian yang turut dibantu 27 anggota bomba berhampiran.
Beliau berkata kawasan yang berkeluasan kira-kira 400 meter persegi itu ditutup kepada orang awam ekoran bacaan indeks pencemaran sebanyak 200 partical per sejuta (ppm).
“Sehingga kini, tiada sesiapa yang terkesan dengan kejadian itu dan penduduk berdekatan yang terhidu bau gas serta mengalami simptom pening dan muntah perlu memaklumkan segera kepada polis untuk rawatan di hospital.
“Sehingga 1.15 tengah hari tadi, kawasan ini masih ditutup kepada orang awam dan mereka diminta menggunakan laluan lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fakhrudin ketika ditemui di lokasi berkata kawasan sekitar kilang ais di Taman Perindustrian Jaya berkenaan hanya akan dibuka semula apabila bacaan indeks pencemaran berada pada kadar 25 ppm.
Beliau berkata bacaan di dalam kilang sekarang ialah 240 ppm dan kawasan sekitarnya kira-kira 200 ppm.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menggunakan kaedah semburan air untuk menurunkan tahap amonia ke kadar selamat.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat, anggota kami akan berada di lokasi hingga kawasan berkenaan disahkan selamat,“ katanya.
Seorang penduduk Apartment Seri Meranti, yang terletak bersebelahan kawasan perindustrian berkenaan, Zainal Abidin, 50-an, ketika ditemui berkata beliau mengalami sesak nafas dan sakit tekak dipercayai terhidu gas amonia malam tadi.
Menurutnya ketika kejadian beliau berada di pejabat Badan Pengurusan Bersama pangsapuri itu dan menyangka gas penyaman udara di premis berkenaan bocor.
“Namun, selepas ditutup bau masih ada dan semakin kuat. Kemudian saya keluar dan lihat ramai penghuni keluar serta turun dari kediaman mereka sampai ada yang mengadu sesak nafas,“ katanya. -Bernama
