
KUALA LUMPUR — Kilang kereta eletrik (EV) pertama Proton yang dilancarkan hari ini dilihat bakal membuka lembaran baharu buat hubungan Malaysia-China.
Detik bersejarah ini juga berperanan memacu industri automotif negara ke arah teknologi hijau dan lestari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek terbabit adalah hasil kerjasama strategik berterusan dengan kerajaan China melalui rakan kongsi Proton, Geely.
Menurut beliau, ia bukan sahaja membawa pelaburan besar tetapi juga pemindahan teknologi.
“Dengan sokongan Geely, Proton kini melangkah setapak lebih jauh. Kerjasama ini merangkumi pemindahan teknologi serta penubuhan pusat kecemerlangan bagi melatih tenaga muda tempatan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada perasmian fasiliti baharu Proton Holdings Bhd itu di Tanjung Malim, Perak.
Kilang terbabit yang berkeluasan lebih 2.2 hektar dengan kos pembinaan hampir RM80 juta memiliki keupayaan untuk menghasilkan ribuan unit setahun.
Ia turut melahirkan EV pertama Proton, e.MAS 7, dan dijangka mengeluarkan model kedua, e.MAS 5 tidak lama lagi.
Tegas Perdana Menteri, kilang EV ini selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan teknologi tinggi, mobiliti pintar dan kelestarian.
“Kerjasama erat dengan China dan Geely membolehkan Proton bersaing di peringkat global selain membuka peluang pasaran baharu.
“Proton perlu memastikan produk EV ini mampu milik, kos penyelenggaraan rendah dan jarak perjalanan lebih jauh. Dengan sokongan rantaian bekalan tempatan, kos dapat dikurangkan sekali gus menambah peluang pekerjaan,” katanya.
Selain pengeluaran kenderaan jelas beliau, projek ini juga membangunkan ekosistem lebih luas merangkumi vendor, pembekal tempatan dan hab pendidikan.
“Kilang ini bukan sekadar pusat pengeluaran, tetapi juga pusat latihan dan pendidikan. Proton bersama Geely akan melahirkan jurutera serta profesional automotif yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut menekankan agar pembangunan industri terbabit seimbang dengan kebajikan rakyat, termasuk penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan dan sosial di kawasan sekitar Tanjung Malim.
“Saya difahamkan anak-anak Malaysia kini berpeluang mengikuti latihan teknologi EV di China. Ini pencapaian membanggakan kerana memberi pendedahan global kepada tenaga kerja kita,” katanya. - Getaran, 4 September 2025


