Kilang klinker baharu Cahya Mata Sarawak bernilai RM750 juta dijangka tingkatkan kapasiti pengeluaran tiga kali ganda – MIDF Research
diyana
28/06/2023 - 10:01
KUALA LUMPUR 28 Jun - Kilang klinker baharu Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) berharga RM750 juta dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran tiga kali ganda daripada 0.9 juta tan metrik pada masa ini kepada 2.8 juta tan metrik, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata langkah tersebut dilihat sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan simen yang dijangka meningkat daripada pembangunan di Sarawak dan Nusantara.
Dalam masa yang sama, klinker baharu yang dijangka siap dalam tiga tahun itu dilihat sejajar dengan matlamat jangka panjang kumpulan untuk mengurangkan pergantungan kepada klinker yang diimport, membolehkannya mengurus kos operasi dengan lebih baik dan meningkatkan margin, tambahnya.
“Semasa lawatan kami ke kilang bersepadu di Mambong, pengurusan memberi panduan bahawa nisbah penggunaan klinkernya adalah kira-kira 40% keluaran sendiri dan 60% diimport, biasanya dari Vietnam,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Melihat dua senario tersebut, firma itu kekal positif terhadap unjuran pendapatan CMSB pada FY23 dan optimis dengan prospek jangka sederhana hingga panjangnya, terutamanya dengan projek pembangunan yang telah dirancang untuk negeri dan juga ibu negara baharu Indonesia.
“Bajet 2023 memperuntukkan RM5.6 bilion untuk pembangunan Sarawak, di samping RM2.5 bilion untuk kemudahan awam di Sabah dan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan turut mempercepatkan Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Hubungan Sarawak-Sabah.
“Semua ini, di samping suntikan modal RM100 bilion kepada negeri ini menjelang 2030 akan menyaksikan aliran kontrak yang kukuh pada tahun-tahun akan datang, di mana CMSB akan mendapat manfaat sebagai pengeluar simen tunggal di negeri ini,” tambahnya.
Oleh itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM1.50 sesaham.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, CMSB berkata kilang klinker baharu akan dibina di kompleks bersepadunya di Mambong, Kuching yang akan menelan belanja RM750 juta dan mengambil masa 36 bulan untuk siap.
Kumpulan itu berkata kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran harian sebanyak 6,000 tan metrik atau 1.9 juta tan metrik setiap tahun dan akan memenuhi permintaan simen domestik Sarawak yang semakin meningkat serta meningkatkan kecekapan pengeluaran sekali gus mengurangkan jejak karbon dan memastikan kemampanan berterusan.
Pada pukul 10 pagi ini, saham CMSB menokok 1 sen atau 1% kepada 97 sen, memberikannya modal pasaran RM1.04 bilion. - DagangNews.com


