SUNGAI PETANI - Sebuah kilang papan di Bukit Selambau di sini digemparkan dengan penemuan objek menyerupai bom tangan bersama nota dipercayai mengandungi unsur ugutan, kira-kira jam 10 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, nota menggunakan tulisan tangan bahasa Melayu dan warna merah itu dikesan membawa maksud 'menghentikan operasi'.
"Secara penglihatan kasar, menyerupai objek bom tangan. Kita sedang mengenal pasti dan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan ia diperbuat daripada kayu atau besi. Tapi ia menyerupai objek, bentuknya bom tangan tetapi tidak berfungsi, maksudnya bukan yang lengkaplah.
“Nota itu ada ayatnya, tetapi bermaksud lebih kurang hentikan operasi. Sama ada operasi apa, kami masih menjalankan siasatan lanjut. Mungkin bagi sesetengah orang, tiada ugutan, tapi untuk pihak pengurusan, dia rasa mungkin itu adalah ugutan," katanya kepada media.
**media[3596556]**
Hanyan berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja yang terlihat objek berkenaan di hadapan pintu utama pejabat kilang.
Katanya, polis akan merakam keterangan saksi termasuk pihak pengurusan kilang bagi membantu siasatan.
Difahamkan, premis kilang tersebut beroperasi 24 jam.
Beliau berkata, lokasi objek dan nota itu ditemui tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kejadian ini adalah yang pertama dilaporkan berlaku di premis berkenaan dalam tempoh 10 tahun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.


