Kilang revolusi industri projek sulung Pembangunan Selangor Selatan

3 Jan 2023 • 8:05 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 3 JAN: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dijangka bermula tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 trilion.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sembilan projek dikenal pasti di Sepang dan Kuala Langat melibatkan penggunaan tanah seluas 40,000 ekar.

Menurutnya, satu projek sudah memperoleh kebenaran merancang (KM) bersyarat iaitu NCT Smart Industrial Park di Kuala Langat bagi membina kilang berkonsep revolusi industri 4.0 (IR4.0) seluas 700 ekar.

“Manakala Sepang Gold Coast Global Village di Sepang membabitkan tanah seluas 900 ekar dalam proses terakhir penilaian oleh Jabatan Teknikal sebelum dikemukakan untuk KM.

“Jangkaan (pelaksanaan) projek ini dalam tahun ini juga, sejurus memenuhi syarat maka ia boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja. Saya percaya belum ada lagi mana-mana projek di Malaysia keseluruhannya (GDV) mencecah RM1 trilion,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Chang Khim, pembangunan projek berkaitan dilaksanakan pihak swasta melalui insentif ditawarkan Kerajaan Selangor dan kerajaan pusat pada kadar bersesuaian.

“Untuk negeri, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan mengumumkan butiran terperinci dijangka dalam bulan ini apakah insentif yang ditawarkan (kepada pemaju).

“Semestinya tawaran insentif ini akan mengujakan pemaju, tambahan pula projek terlibat saiznya agak besar,” katanya.

IDRISS antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai lalu bagi membangunkan Sepang dan Kuala Langat.

Dua daerah berkenaan dikenal pasti bagi pembangunan berasaskan wilayah untuk memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri ini.

Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.