Kilang rokok 'haram' diserbu

27 Jun 2023 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas gudang berkenaan yang turut dijadikan kilang menghasilkan rokok di USJ 1 pada Isnin.

image is not available
Antara rokok yang dihasilkan tanpa kebenaran.

SUBANG JAYA - Sebuah gudang dijadikan pusat penyimpanan tembakau diserbu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dan Pejabat Tanah Daerah Petaling pada Isnin.

MBSJ dalam satu kenyataan berkata, premis beroperasi di USJ 1 itu turut dijadikan kilang menghasilkan rokok tanpa kebenaran.

Menurutnya, premis tersebut telah dikenakan kompaun dan diambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBSJ) 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.

**media[2247211]**

"Kastam turut mengenakan tindakan sitaan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 di bawah beberapa kesalahan seperti cubaan mengimport apa-apa barang-barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 135 (1d) Akta Kastam 1967," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ujar kenyataan itu, operasi yang dijalankan itu menyasarkan kepada aktiviti penjualan rokok dan minuman keras secara seludup atau tanpa kebenaran.

Katanya, MBSJ akan terus melaksanakan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.