Kimlun bersedia raih manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak, Johor, Singapura – RHB Investment

Business & Finance
24 Oct 2023 • 12:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kimlun bersedia raih manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak, Johor, Singapura – RHB Investment

diyana

24/10/2023 - 12:04

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kimlun Corp Berhad bersedia untuk meraih manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak, Johor dan Singapura, menurut RHB Investment yang menilai syarikat pembinaan itu pada RM1.05 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY24 10 kali ganda.

Firma penyelidikan itu berkata perbelanjaan pembangunan Sarawak yang lebih tinggi sebanyak RM5.8 bilion di bawah Belanjawan 2024 boleh mempercepatkan pelancaran projek seperti Lebuhraya Pan Borneo (PBH) Sarawak serta Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR), di mana Fasa 2 kedua-dua projek masih belum dilancarkan.

Oleh itu, kumpulan itu di kedudukan yang menarik untuk memanfaatkan lebih banyak projek di Sarawak berdasarkan rekod prestasinya dengan PBH Sarawak Fasa 1 dan penglibatan semasa dalam SSLR Fasa 1.

Di samping itu, Kimlun telah memperoleh kerja bernilai lebih RM1 bilion di Johor Bahru dengan kehadiran yang besar di Iskandar Malaysia.

“Pengumuman mengenai pelonggaran kelayakan Malaysia My Second Home (MM2H) dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mungkin memangkin lebih banyak pembangunan hartanah yang sedang dibina di Johor,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, 21% daripada pendapatan kumpulan pada FY22 adalah dari Singapura melalui pembekalan produk pratuang kepada projek seperti laluan Transit Aliran Massa (MRT) Singapura melalui anak syarikatnya SPC Industries (SPC).

“Sasaran Singapura untuk mengembangkan rangkaian rel kepada kira-kira 360km menjelang 2030 daripada kira-kira 260km boleh memberi peluang perniagaan baharu tambahan kepada SPC,” tambahnya.

Menurut RHB Investment, prospek pekerjaan tambahan mungkin datang daripada projek hospital berasaskan pengkhususan tambahan Kimlun untuk hospital yang telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pada 2020.

Firma itu juga tidak menolak kemungkinan peluang daripada projek tebatan banjir yang sedang digalakkan oleh Kerajaan di negeri seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor.

Selain itu, firma tersebut mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun kumpulan sebanyak 57% – sejajar dengan sasaran penambahan kerja pembinaan bernilai RM900 juta dan RM700 juta untuk FY24-25.

RHB Investment juga menganggap sasaran penambahan tempahan jualan RM300 juta bagi FY23-25 untuk segmen pembuatan dan dagangan Kimlun – disokong oleh jumlah permintaan pembinaan Singapura yang mencecah antara S$25 bilion dan S$32 bilion setahun dari 2026 hingga 2026.

Pada pukul 12 tengah hari, saham Kimlun menokok 2.5 sen atau 3.1% kepada 82.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM291.5 juta. - DagangNews.com