liza23/12/2025 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Dis – Kimlun Corporation Berhad melalui anak syarikat miliknya, Kimlun Sdn. Bhd meraih tiga kontrak pembangunan baharu di Johor dengan nilai keseluruhan RM617.73 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kimlun berkata ketiga-tiga projek itu dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak tersebut.
“Kontrak pertama diterima daripada Permas Jaya Sdn. Bhd bagi kerja-kerja bangunan utama dua bangunan apartmen servis dan bangunan tambahan di Mukim Plentong, Daerah Johor Bahru.
“Kontrak ini bernilai RM176.2 juta dan dijangka siap pada suku keempat 2028,” katanya dalam makluman itu.
Kontrak kedua diterima daripada Melia Spring Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja bangunan utama dua blok apartmen servis serta bangunan tambahan di Mukim Pulai, Daerah Johor Bahru.
Nilai kontrak ini adalah RM271.55 juta dan dijangka siap pada suku ketiga 2028.
Selain itu, kontrak ketiga diterima daripada CJ Developments Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja infrastruktur dan bangunan untuk rumah teres serta kedai pejabat di Mukim Pulai, Daerah Johor Bahru.
Kontrak ini bernilai RM169.98 juta dan dijangka siap pada suku kedua 2028.
Kimlun berkata kesemua projek ini merupakan sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk memperluaskan jejaknya dalam pembangunan perumahan dan servis apartmen di Johor.
Syarikat menjangkakan projek-projek ini akan menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan semasa dan akan datang sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.
Kimlun menegaskan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkait, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak-kontrak ini.
Langkah ini juga selaras dengan strategi Kimlun untuk memantapkan portfolio pembangunan hartanahnya dan memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran hartanah domestik.
Dengan pelaksanaan projek-projek ini, KIMLUN terus mengekalkan momentum pembangunan dan pertumbuhan kumpulan, di samping memberi sumbangan kepada pembangunan infrastruktur tempatan di Johor. - DagangNews.com


