
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang menjadikan keadaan lebih mudah untuk semua pihak.
“Majlis Tertinggi GRS baru-baru ini sebulat suara memutuskan bahawa GRS akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai satu-satunya rakan gabungan. Walaupun belum diumumkan secara rasmi, kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah selari dengan pendirian tegas kami,” katanya.
“Mengapa perlu bekerjasama dengan pihak yang kita sendiri tidak selesa? Ia tidak masuk akal,” tambahnya sambil menegaskan GRS dan PH kini boleh bergerak dengan lebih yakin.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan keputusan GRS untuk bergabung dengan PH wajar dihormati.
“Walaupun GRS dan BN sama-sama berada dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, GRS tidak mempunyai masalah berdepan BN dalam pilihan raya nanti kerana politik Sabah bersifat unik. Bagi rakyat Sabah, ini bukan perkara baharu.
“Akhirnya, rakyat akan menentukan dan saya yakin GRS serta PH akan terus diberi mandat kerana kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Rekod pencapaian kami sepanjang lima tahun lalu sudah cukup membuktikan, bukannya fitnah yang dilemparkan pembangkang,” katanya.
Perkembangan terbaharu itu bermakna GRS dan BN dijangka tidak akan bertembung dengan PH, sebaliknya kedua-duanya akan berhadapan sesama sendiri di kerusi lain.
Hajiji berkata, keputusan BN untuk bekerjasama dengan PH adalah hak mereka. “Bagi GRS, dalam kerajaan ketika ini, kami tetap sehaluan dengan PH. Tetapi kami tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang pernah mengkhianati kerajaan ini.
“Sekali dikhianati, kita tidak akan mudah lupa. Ada yang cuba memberi alasan tanpa asas, tetapi bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan kerajaan adalah sesuatu yang sukar dimaafkan. Itulah keputusan kami kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan GRS-PH dan kami akan kekal bersama,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata percanggahan pandangan mengenai kerjasama politik adalah lumrah dalam demokrasi.
“Politik Sabah agak unik, ini bukan perkara baharu. Pernah berlaku dahulu, di peringkat negeri satu parti berada dalam BN dan juga pembangkang, manakala di peringkat Persekutuan parti sama menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Jadi, keadaan sebegini memang sudah menjadi lumrah politik, khususnya di Sabah,” katanya, mengulas kenyataan Zahid bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN17, tetapi mengekalkan gabungan dengan PH.
Dalam majlis terdahulu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli.
“Kita menyokong pengenalan RUU itu yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pilihan raya nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri 1447H/2025M di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini.
Mengenai perkembangan Pusat Islam Sandakan di Kampung Sungai Kayu, satu inisiatif oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman ketika beliau menjadi Ketua Menteri pada 2017, Hajiji berkata projek berkenaan kini siap 75 peratus.
“Kompleks ini bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu bandar ini, tetapi juga mengukuhkan lagi syiar Islam di negeri ini,” katanya.
Selaras dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pertumbuhan holistik dan inklusif, Hajiji berkata kerajaan juga akan membangunkan Sandakan sebagai bandar kedua terbesar di Sabah dengan potensi besar untuk diterokai dalam pelbagai sektor, khususnya pendidikan, pelancongan, perniagaan dan perdagangan.


