

Dalam usaha mempermudah akses kepada perkhidmatan kerajaan, Kiosk Sentuhan MADANI diperkenalkan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan lebih 100 perkhidmatan utama.
Melalui kiosk ini, orang ramai boleh menyelesaikan pelbagai urusan termasuk:
Pembaharuan cukai jalan & lesen memandu (JPJ)Perkhidmatan Pos MalaysiaPembayaran bil elektrik (TNB)Semakan & transaksi KWSPUrusan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)Penggunaan MyDigital ID
Konsep ini bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, terutama bagi mereka yang tidak sempat berurusan dalam waktu pejabat.
Perluasan ke 30 Lokasi dalam 36 Bulan

Kerajaan menyasarkan untuk memperluaskan ketersediaan Kiosk Sentuhan MADANI ke 30 lokasi dalam tempoh tiga tahun. Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Mohd Khalid Mohamed Latiff, kejayaan projek ini bergantung kepada kerjasama sektor swasta dan korporat.
“Kami mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Sebagai contoh, MRCB telah menyediakan lokasi di KL Sentral, manakala Putrajaya Holdings menawarkan tapak di Alamanda,” katanya.
Sambutan Positif, Transaksi Cecah Ribuan

Sejak diperkenalkan, Kiosk Sentuhan MADANI menerima sambutan menggalakkan. Di Alamanda Putrajaya sahaja, sebanyak 4,689 transaksi direkodkan pada Januari 2025, dengan perkhidmatan KWSP mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,981 transaksi.
Melihat kejayaan ini, kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak korporat di Johor bagi memperluaskan lagi konsep ini ke negeri tersebut.
KL Sentral & One Utama Antara Lokasi Baharu
Pada Khamis, Kiosk Sentuhan MADANI KL Sentral dilancarkan secara rasmi. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, optimis lokasi ini akan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding Alamanda kerana beberapa penambahbaikan telah dilakukan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pula mengumumkan bahawa kiosk ketiga bakal dibuka di One Utama, Petaling Jaya pada April ini.
Aspirasi Pendigitalan Kerajaan
Kiosk Sentuhan MADANI merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Ia selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan yang bertujuan untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu lokasi, memudahkan rakyat menguruskan keperluan rasmi di luar waktu pejabat dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

