amree27/04/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 April — KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mengumumkan cadangan untuk pengambilalihan pusat beli-belah Setapak Central di ibu negara yang bernilai kira-kira RM435 juta.
Langkah pembelian oleh kumpulan amanah pelaburan hartanah tersebut, sekali gus melonjakkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) melepasi RM2 bilion, iaitu lebih awal daripada sasaran 2027.
Dana itu berkata, usaha tersebut dijangka meningkatkan keluasan boleh sewa bersih (NLA) portfolio sebanyak 15.6% dan menyokong pertumbuhan pengagihan pendapatan seunit (DPU) dalam jangka panjang.
"Pengambilalihan Setapak Central dengan kadar penghunian 99.9% dan NLA seluas 47,824 meter persegi itu akan menjadi aset ke-19 dan terbesar dalam portfolio," maklum KIP REIT kepada Bursa Malaysia.
Aset tersebut jelas kumpulan itu, menjana pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM31.3 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dengan hasil pulangan menarik yang mampu mencecah sekitar 7.2%.
Tambahnya, cadangan terbaharu ini akan meningkatkan skala dan kualiti portfolio, di samping dapat memperkukuhkan profil pasaran di Kuala Lumpur serta akses kepada pembiayaan yang lebih kompetitif.
Pengambilalihan tersebut kata KIP REIT, akan dibiayai oleh kumpulan berkenaan dengan melalui proses gabungan pinjaman bank dan penempatan saham persendiriannya pada kadar nisbah 60:40.
“Pembelian Setapak Central merupakan langkah penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya, dengan fokus kepada pertumbuhan berkualiti dan pulangan secara mampan kepada pemegang unit,” katanya.
Sementara itu, bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (Q3FY26), KIP REIT mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 31.4% kepada RM18.2 juta berbanding RM13.8 juta setahun lalu.
Perolehan kasar turut naik 12.9% kepada RM44.6 juta manakala NPI berkembang 17.6% kepada RM32.3 juta, disokong faktor sumbangan lebih tinggi daripada aset sedia ada serta pemerolehan baharu.
Segmen runcit kekal sebagai penyumbang utama dengan 92.7% daripada hasil keseluruhan, sementara segmen industri mencatatkan pertumbuhan 86%, mencerminkan kepelbagaian portfolio semakin kukuh.
"Bagi tempoh sembilan bulan FY26, KIP REIT sudah berjaya merekodkan PAT yang meningkat kira-kira 47.5% kepada RM52.9 juta dengan hasil pula melonjak 33.9% kepada sebanyak RM128.9 juta," katanya.
Seiring dengan prestasi kukuh berkenaan, kumpulan tersebut turut mencadangkan untuk pengagihan pendapatan syarikat atau dividen yang ketiga sebanyak RM16.6 juta atau kira-kira 1.73 sen seunit.
Perkembangan ini menjadikan jumlah dividen setiap unit pelaburan terkumpul kepada 5.23 sen, meningkat kira-kira 9.4% berbanding hanya sebanyak 4.78 sen pada tahun kewangan sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, prestasi positif pada kali ini didorong oleh strategi penyewaan yang lebih fokus, pengurusan kos berdisiplin serta integrasi aset semakin berjaya.
"Secara keseluruhan, langkah agresif kumpulan ini dilihat mempercepatkan trajektori pertumbuhan, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam sektor REIT tempatan," katanya. - DagangNews.com






