KIP REIT rancang luas operasi, tambah jumlah aset RM2 bilion tiga tahun lagi - TA Securities

24/04/2025 - 16:34
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 24 April - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) merancang untuk memperluas operasi dan menambah jumlah aset di bawah pengurusannya kepada RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menurut TA Securities, strategi jangka panjang KIP REIT adalah untuk membeli aset baharu yang mampu menjana pulangan baik serta meneroka peluang pertumbuhan dalam segmen runcit dan industri bagi meningkatkan nilai jangka panjang.
Firma penyelidikan itu juga berkata, pengurusan KIP REIT kekal optimis terhadap prospek masa depannya, disokong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada, usaha penyewaan yang aktif dan penambahbaikan operasi secara berterusan.
"Pengurusan turut komited terhadap pengurusan modal yang berhemah dan pulangan mampan kepada pemegang unit," kata TA Securities dalam satu nota kajian.
Dengan mengemas kini asas penilaian ke tahun 2026, TA Securities menetapkan harga sasaran baharu sebanyak RM1.17 seunit berbanding RM1.15 sebelum ini, berdasarkan unjuran hasil 6.75%.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham tersebut.
Pada 10 April lalu, KIP REIT mengumumkan pembelian empat aset runcit bernilai RM118 juta.
Ia dibiayai sebahagiannya melalui cadangan terbitan swasta sehingga 180 juta unit baharu, yang dijangka menjana dana sebanyak RM132 juta.
Sebahagian daripada dana itu juga akan digunakan untuk penambahbaikan aset di KIPMall Tampoi. - DagangNews.com
standard

