IJM Corporation Berhad ditubuhkan pada tahun 1983 hasil penggabungan tiga syarikat pembinaan sederhana iaitu IGB Construction, Jurutama dan Mudajaya.
Nama IJM sendiri datang daripada huruf pertama ketiga-tiga syarikat tersebut. Pada awal penubuhannya, IJM memberi fokus kepada sektor pembinaan sebelum berkembang ke bidang lain seperti pembangunan hartanah, infrastruktur, konsesi lebuh raya dan perladangan.
Bagaimanapun, tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bernilai RM11 bilion oleh Sunway ke atas semua saham biasa IJM tidak menjadi.
Sunway gagal menerima penerimaan sah yang membolehkan mereka memegang lebih 50 peratus saham mengundi dalam IJM Corporation. Penutupan tempoh tawaran berkenaan berkuat kuasa pada jam 5 petang waktu Malaysia pada hari Isnin, 6 April 2026.
Sunway hanya meraih penerimaan sah yang menjadikan pegangan mereka terhad kepada 1,171,716,556 saham iaitu mewakili 33.43 peratus daripada jumlah keseluruhan saham mengundi.
Sekiranya menjadi kenyataan, urus niaga mega yang bakal mengubah landskap korporat negara dan menjadi sebuah konglomerat hartanah dan pembinaan terbesar negara dari segi pendapatan dan jumlah aset.
Sejak tawaran itu diumumkan secara rasmi, terdapat banyak spekulasi dan cerita-cerita yang menarik di belakang tabir. Antara isu besar dibangkitkan ialah tentang nasib dan masa depan penyertaan bumiputera dalam IJM kerana terdapat banyak syarikat mendapat manfaat daripada projek-projek fasiliti awam dikendalikan IJM.
Sebaliknya, Sunway menafikan tentang usaha mereka akan menjejaskan golongan bumiputera dan mahu bersama-sama untuk memajukan sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Sunway masih ada peluang untuk berusaha sekali lagi untuk mendapatkan IJM dan mereka boleh berbuat demikian selepas tempoh satu tahun. Tetapi difahamkan bukan Sunway sahaja yang berminat dengan IJM, ada beberapa pihak lagi turut mengintai peluang.
Sama-sama kita nantikan drama korporat yang paling menarik dalam sejarah negara ini akan berakhir dengan kisah gembira atau sebaliknya.
