
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pelancaran muzik video Kita Jaga Sabah sebagai cerminan tanggungjawab bersama rakyat dalam memelihara keamanan dan perpaduan di negeri ini.
Beliau berkata apabila rakyat Sabah menyebut “Kita Jaga Sabah” ia bukan sekadar slogan tetapi seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau status sekali gus setiap orang mesti memainkan peranan dalam menjaga kemajuan negeri.
“Video ini menunjukkan bagaimana golongan belia Sabah bukan sahaja mempunyai bakat tetapi semangat untuk melihat negeri ini membangun dan menyumbang kepada masa depannya,” katanya ketika merasmikan tayangan perdana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Beliau memuji kerjasama penyanyi dan karyawan tempatan sambil berkata ia membuktikan rakyat Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang menyatukan masyarakat melalui mesej penuh makna.
“Anak muda kita mengambil berat tentang pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan masa depan negeri ini. Inilah semangat keprihatinan yang kita mahu pupuk.
“Kita semua adalah penjaga Sabah daripada pemimpin dan belia sehinggalah ke penduduk kampung dan penggiat seni. Jika kita bergerak bersama, saya percaya kita boleh membawa negeri ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Hajiji turut memuji Majlis Belia Sabah (MBS) kerana menganjurkan program Tamu Suara 360 dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan yang menyediakan platform kepada belia untuk menyuarakan pandangan.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong pemerkasaan belia dalam bidang seni, budaya, sukan dan keusahawanan.
Projek Kita Jaga Sabah dihasilkan oleh komposer dan penyanyi Anas Amdan manakala lirik ditulis bersama Amsalib Pisali dan Miba yang dinyanyikan oleh Stacy, Elica Paujin, Dabra Sia, Feroq Jayfiena, Miba, Anip dan Nvuel.
Ia diterbitkan oleh Farish Aziz dengan Darma sebagai penerbit eksekutif.
Sementara itu Farish berkata lagu berkenaan adalah seruan untuk memperkasakan belia, peringatan tentang perpaduan dan juga satu perayaan terhadap kepelbagaian kreatif Sabah.


