‘Kita mesti di kerusi pemandu’. Jangan biar orang lain buat keputusan untuk Sabah, kata Anifah

LocalPolitics
16 Mar 2025 • 5:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mohd Nazllie Zainul

Kota Kinabalu: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman menyatakan pihaknya belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Beliau menegaskan PCS ketika ini lebih cenderung membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihan raya negeri tahun ini berikutan partinya adalah salah satu komponen dalam gabungan berkenaan.

“Sekarang bukanlah perihal kerusi tetapi persoalannya sama ada kerusi yang ditandingi itu boleh kita menang atau sebaliknya.

“Tiada guna juga kita bertanding lima, enam, 10 kerusi tetapi tidak menang.

“PCS setakat ini pun belum ada sebarang sasaran kerusi namun perbincangan sesama kita dibuat.

“Kita mencari jalan terbaik kerana ia bukan sebab individu atau calon, namun semuanya tentang negeri,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Invest Sabah Berhad, yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat.

Apabila ditanya sama ada dirinya akan kembali bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu memaklumkan beliau belum memutuskan perkara terbabit.

Untuk rekod, Anifah kali terakhir bertanding di DUN Bongawan pada PRN16 Sabah pada 2020.

Sementara itu, beliau berkata PCS berpendapat Sabah harus mempunyai hak tersendiri dalam menentukan hala tuju negeri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak sebarang kerjasama sekiranya perkara terbabit boleh memberikan kebaikan kepada negeri.

“Ada baiknya kita di parti tempatan tetapi sekiranya gabungan-gabungan ini boleh meninggikan kemenangan kita, kenapa tidak?

“Tetapi paling penting, kita yang berada di kerusi pemandu itu sebagai pengemudi.

“Dengan ini kita tidak menjadi ‘pak turut’ sahaja. Jangan biar orang lain yang membuat keputusan. Jadi mereka yang di Semenanjung mesti menghormatinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Anidah menegaskan rakyat Sabah harus memberi sokongan kepada pemimpin tempatan, bukan pihak dari Semenanjung.

“Kestabilan politik dapat membantu ekonomi Sabah untuk terus berkembang dan menarik lebih ramai pelabur asing.

"Kejayaan menarik pelaburan dan memperkukuhkan ekonomi selama ini bergantung kepada kestabilan kepimpinan serta kebijaksanaan dalam mengurus sumber yang ada.

"Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepimpinannya yang membawa banyak pembaharuan dan pembangunan kepada negeri ini.

"Kita mempunyai seorang Ketua Menteri yang mengutamakan kerja daripada publisiti, dan di bawah kepimpinannya, Sabah telah mencatat RM58.319 bilion dalam pelaburan.

"Ini akan menjana ekonomi kita di samping memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan kita.

"Marilah kita bersama-sama membantu Ketua Menteri dan Kerajaan untuk mencapai matlamat kita.

"Dengan adanya pelaburan ini, ia semestinya akan mengubah landskap pembangunan Negeri Sabah di mana rakyat Sabah akan menikmati arus pemodenan," katanya.

Anifah turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan semua kakitangan Invest Sabah dalam menyumbang ke arah membawa pelaburan tersebut ke Sabah.

Dalam majlis tersebut, seramai 40 anak yatim dan pelajar Tahfiz dari Rumah Amal Kasih Kingfisher serta Maahad Tahfiz Tuaran menerima sumbangan daripada Invest Sabah, yang disampaikan oleh Hajiji.

Hadir sama, Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Madius Tangau merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Pesuruhjaya Tinggi Republik Namibia Herman Pule Diamonds dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Dr Firdausi Suffian.