Usahawan dan pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah telah mengambil langkah bijak untuk menjamin hak dan masa depannya selepas suaminya, Alif Teega, berkahwin buat kali kedua tanpa memaklumkan kepadanya.
Menurut Aisyah, Alif telah bersetuju untuk memindahkan semua hasil titik peluh termasuk aset harta sepencarian 100 peratus kepadanya. Ini termasuklah syarikat Hijanah, rumah, kereta dan aset-aset lain yang mereka perolehi bersama sejak berkahwin.
Menerusi hantaran di Instagram, Aisyah berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan surat perjanjian persetujuan di antara dia dan Alif.
“Biiznillah, segala hasil titik peluh yang dibina dari bawah bersama suami (aset harta sepencarian) telah dipindahkan 100% kepada Aisyah,” katanya.

Dalam masa sama, Aisyah juga memberi nasihat kepada wanita lain yang berada dalam situasi sama dengan dirinya. Dia menasihati mereka untuk tidak menghancurkan semuanya hanya kerana marah.
“Catat semua aset bersama dan buat satu persetujuan khas bersama. Kalau mampu upah peguam, silakan. Pada awal mungkin kita akan blur, tapi bila kita cuba bertenang dan berdamai dengan takdir, kita akan dapat jalan. Jangan berputus asa terlalu awal,” katanya.
Tegas Aisyah, dia bertindak sedemikian bukan kerana tamak atau gila harta, tetapi mahu memastikan masa depan yang terjamin untuk diri dan anak-anaknya.
“Kita perlu bijak mengawal emosi dan banyakkan bertenang. Kalau tak, kita akan kehilangan semuanya,” ujarnya.
Walaupun begitu, Aisyah bersyukur Alif memberikan kerjasama yang baik kepadannya dalam soal menuntut hak berkenaan.
“Terima kasih Alif kerana kerjasama dengan baik dan beri hak yang sepatutnya. Semoga Allah mudahkan urusan,” katanya.
Terdahulu, Alif telah mengumumkan pernikahan keduanya menerusi satu kenyataan di Instagram. Jelas Alif, dia berbuat demikian bagi mengelakkan fitnah kepada diri, isteri dan keluarganya.
Pengumuman itu mengejutkan dan menimbulkan kemarahan netizen, kerana Alif sebelum ini dikenali sebagai seorang yang kerap menegur lelaki lain yang sanggup menduakan isteri.
Walaupun begitu, Aisyah meminta orang ramai tidak bercakap buruk tentang perkahwinan kedua suaminya dan meminta doakan kebahagiaan suaminya itu.
The post ‘Kita perlu bijak kawal emosi’ – Aisyah Hijanah syukur segala aset pencarian bersama suami telah dipindahkan 100% kepadanya appeared first on The Reporter.
