Kita perlu kuat bertahan dalam krisis

LocalBusiness & Finance
4 Apr 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Harga minyak dunia sudah mencecah AS$141 setong menjadikannya angka tertinggi sejak krisis kewangan pada tahun 2008 dan beberapa negara sudah mula menunjukkan peningkatan inflasi.

IMPAK daripada perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran sudah mula terasa terutama dalam kalangan peniaga dan secara perlahan-lahan turut memberi tempias kepada pengguna.

Sudah banyak persatuan yang mewakili industri tertentu bersuara menyatakan kesusahan yang sedang mereka alami kini dan mahu kerajaan membantu mereka.

Kita tidak tahu bila perang yang berlaku di Asia Barat itu akan berakhir. Jika ia terus berpanjangan, keadaan akan jadi lebih susah dan parah kepada kita semua.

Sumber atau kewangan yang ada dalam kantung negara sudah tentu tidak boleh digunakan semuanya kerana kerajaan juga perlu memikirkan pada masa panjang.

Kalau kita habiskan semua sumber kita sekarang, lalu apa akan jadi pada masa akan datang ? Lihat sahaja kesan akibat daripada Covid-19 yang menyebabkan seluruh dunia ambil masa beberapa tahun untuk bangkit semula.

Sampai ke hari ini kita masih dengar ada syarikat dan individu yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik itu walaupun sudah enam tahun berlalu.

Terdapat banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan pada masa itu untuk membantu rakyat daripada bantuan kewangan hinggalah penyediaan bakul makanan.

Jadi kita yakin mana-mana kerajaan akan cari jalan untuk bantu rakyat, namun sementara kita menunggu apa yang kerajaan akan lakukan untuk bantu kita semua, kita juga kena fikirkan apa yang kita akan buat bagi memastikan impak krisis ini tidak beri kesan besar kepada kehidupan kita.

Antara saranan yang diberikan ialah dengan mengubah gaya hidup supaya berjimat cermat, tidak menambah beban hutang baharu atau berusaha mencari peluang menambah pendapatan.

Begitu juga dengan kekerapan makan di luar perlu dikurangkan dan sebaiknya masak sendiri lebih menjimatkan.

Realiti semasa

Pada masa ini harga minyak sudah sudah mencecah AS$141 setong menjadikannya angka tertinggi sejak krisis kewangan pada tahun 2008 dan beberapa negara sudah mula menunjukkan peningkatan inflasi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meramalkan ekonomi dunia menjadi perlahan kepada 2.7 peratus sahaja lebih rendah dari tahun 2025.

Di AS pasaran buruh telah menjadi perlahan pada kadar 4.4 peratus, tetapi di China aktiviti pembuatan menunjukkan ketahanan walaupun berlaku gangguan bekalan.

Sementara di Malaysia pada masa ini berada pada kedudukan terbaik dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 dan Bank Negara mengunjurkan pertumbuhan pada kadar empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

Ini didorong oleh permintaan tinggi sektor elektronik dan semikonduktor termasuk pelaburan pusat data kadar pengangguran yang rendah bermaksud ramai rakyat Malaysia ada kerja dan bantuan kewangan yang diberikan kerajaan telah mengukuhkan pendapatan serta perbelanjaan rakyat.

Tetapi semua faktor positif di Malaysia akan terjejas disebabkan oleh krisis tenaga dan perang yang sedang berlaku pada ketika ini.

Jadi kesimpulannya, dalam ketidaktentuan ekonomi global ini, keupayaan kita menyesuaikan diri akan menentukan sejauh mana kita mampu bertahan.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian