Kita saling berbeza, tapi kita boleh bersama

8 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kita saling berbeza, tapi kita boleh bersama

31 OGOS lalu kita meraikan sambutan hari kemerdekaan yang ke-69 tahun dan pada 16 September nanti, negara sekali lagi akan meraikan peristiwa besar iaitu sambutan Hari Malaysia yang menjadi simbol penyatuan dan kepelbagaian kaum dari Semenanjung sehinggalah ke Borneo.

Dua peristiwa ini memberi impak besar rasa cinta kepada Malaysia, sekali gus menyatukan semua bangsa untuk meraikannya bersama-sama tanpa mengira latar belakang atau perbezaan fahaman.

Kepelbagaian bangsa menjadikan Malaysia cukup unik kerana kita masih mampu hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni.

Kewujudan pelbagai kaum dan bangsa di negara ini adalah hasil perjalanan sejarah yang panjang. Dahulu, Tanah Melayu menjadi tempat pertemuan pelbagai tamadun seperti India, China dan Timur Tengah sebelum menerima pengaruh Barat dan akhirnya berdepan era globalisasi.

Semua proses itu telah membentuk sebuah peradaban majmuk yang menjadi asas identiti Malaysia hari ini. Walaupun ramai menganggap kepelbagaian sebagai cabaran, tetapi jika diurus dengan baik, ia sebenarnya menjadi kekuatan yang mampu memperkukuh pembangunan negara.

Perbezaan budaya, adat resam dan cara hidup membuka ruang kepada masyarakat untuk saling memahami, menghormati serta belajar antara satu sama lain. Inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan nilai toleransi dan keharmonian sosial.

Dalam menyuburkan lagi keharmonian ini, generasi muda perlu dilibatkan secara terus kerana mereka memikul tanggungjawab besar agar usaha membina negara bangsa Malaysia dapat diteruskan dari generasi ke generasi.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Abdul Hadi Samsi, peradaban majmuk merupakan aset paling yang dimiliki oleh Malaysia.

“Kepelbagaian bukanlah penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan yang membezakan negara kita dengan negara lain.

“Dengan berpandukan perlembagaan, nilai perpaduan, etos nasional serta semangat saling menghormati, Malaysia berpotensi untuk terus berkembang sebagai sebuah negara yang aman, inklusif dan dihormati di persada dunia.

“Pembinaan negara bangsa bukanlah destinasi yang telah selesai dicapai, tetapi merupakan satu perjalanan yang memerlukan komitmen berterusan daripada setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, perlembagaan menjadi titik temu yang mengimbangi kepentingan pelbagai kelompok dengan menetapkan hak dan tanggungjawab setiap warganegara secara adil.

“Melalui peruntukan yang terkandung di dalamnya, perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, institusi Raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Keseimbangan antara hak istimewa tertentu dengan perlindungan terhadap kepelbagaian masyarakat menunjukkan perpaduan negara dibina melalui prinsip keadilan, toleransi dan saling menghormati.

“Pendekatan ini menjadikan perlembagaan bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi juga satu kontrak sosial yang menyatukan rakyat Malaysia dalam kerangka identiti bersama,” katanya.

The post Kita saling berbeza, tapi kita boleh bersama appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved