Kitab turath akar keilmuan Islam

Opinion
11 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kitab turath akar keilmuan Islam

Kitab turath merujuk karya keilmuan yang diwarisi ulama terdahulu kepada generasi seterysnya. Ia merangkumi pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, akidah, bahasa Arab, sirah, tasauf, ilmu kalam dan disiplin lain yang berkembang dalam sejarah umat Islam.

Sebahagian orang melihat kitab turath sekadar “buku lama” yang tidak lagi sesuai dengan zaman moden. Pandangan seperti ini sebenarnya terlalu menyederhanakan kedudukan kitab turath.

Kitab turath bukan bernilai kerana di dalamnya terkandung pengalaman keilmuan generasi yang panjang, perbahasan mendalam, metodologi tersusun dan warisan pemikiran ulama yang diuji zaman.

Al-Quran sendiri mengajar umat Islam supaya tidak memutuskan hubungan dengan generasi terdahulu. Allah berfirman:

“Bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl: 43)

Ini prinsip penting dalam kehidupan berilmu: Orang yang tidak mengetahui hendaklah merujuk kepada yang mengetahui. Dalam tradisi Islam, proses ini tidak terputus. Ilmu diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Antara kelebihan terbesar kitab turath ialah ia lahir dari tradisi yang berkesinambungan. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka.” (Bukhari dan Muslim)

Hadis itu tidak bermaksud semua karya ulama terdahulu secara automatik benar dan tidak boleh dikritik. Namun, ia menunjukkan kedudukan istimewa generasi awal umat Islam. Mereka generasi paling dekat dengan Rasulullah SAW, para sahabat dan sumber asal agama.

Justeru, apabila membaca karya ulama terdahulu, kita sebenarnya mendekati tradisi ilmu yang lebih hampir dengan zaman pembentukan ilmu Islam.

Perkara yang sering dilupakan ialah betapa panjangnya proses yang dilalui ulama terdahulu sebelum menghasilkan sebuah kitab. Imam al-Bukhari, misalnya, mengembara ke pelbagai wilayah untuk mendapatkan hadis daripada para perawi.

Imam Muslim menyusun Sahih Muslim dengan metodologi yang sangat teliti. Imam al-Nawawi menghasilkan karya dalam pelbagai bidang termasuk al-Majmu‘, Syarh Sahih Muslim dan Riyad al-Salihin.

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menghabiskan masa yang panjang dalam penelitian hadis hingga menghasilkan Fath al-Bari, karya besar dalam syarah Sahih al-Bukhari.

Begitu juga bidang tafsir. Kita menemukan karya seperti Jami‘ al-Bayan oleh al-Tabari, Tafsir al-Kabir oleh al-Razi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir dan kemudiannya al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Ibn ‘Ashur.

Setiap karya ada latar belakang, metodologi dan perbahasan tersendiri. Maka, membaca kitab turath bukan bermaksud membaca “jawapan” tetapi peluang melihat bagaimana ulama berfikir sebelum sampai kepada sesuatu kesimpulan. Inilah antara kelebihan terbesar kitab turath.

Keluasan pandangan

Dalam dunia moden, kita kadangkala mudah terperangkap dengan budaya “satu jawapan untuk semua persoalan”.

Sedangkan apabila kita membaca kitab turath, kita mendapati ulama sering berbeza pandangan dalam sesuatu masalah. Mereka membahaskan dalil, menilai hujah, mengkritik pandangan lawan dan kadangkala membina kesimpulan berbeza.

Perbezaan itu sebenarnya mendidik kita supaya memahami ilmu bukan sekadar menghafal hukum.

Contohnya, dalam fiqh ada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali. Dalam tafsir pula ada pendekatan berbeza antara al-Tabari, al-Zamakhshari, al-Razi, Ibn ‘Ashur dan lain-lain.

Image from: Kitab turath akar keilmuan Islam
Orang ramai hadir mendengar kupasan kitab sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dalam ilmu hadis pula terdapat perbahasan sangat terperinci mengenai sanad, matan, perawi, ‘illah dan taraf hadis.

Apabila membaca turath dengan bimbingan betul, seseorang itu akan belajar satu perkara penting: ulama boleh berbeza pandangan tanpa kehilangan adab terhadap ilmu dan sesama ilmuwan. Ini sangat penting pada zaman kita yang mudah menjadikan perbezaan sebagai permusuhan.

Mencintai kitab turath tidak bermaksud kita menolak segala ilmu moden. Bahkan, Islam tidak mengajar umatnya supaya memusuhi ilmu. Allah berfirman:

“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” (Surah Taha: 114)

Ayat ini mengajar kita betapa pencarian ilmu tidak mempunyai titik akhir. Justeru, pendekatan matang ialah menghubungkan turath dengan realiti semasa.

Kita membaca karya ulama terdahulu untuk memahami asas, metodologi dan tradisi ilmu Islam, kemudian menggunakan kemampuan intelektual untuk memahami persoalan yang muncul dalam zaman ini.

Turath menjadi akar manakala ilmu semasa menjadi cabang yang berkembang. Pokok yang hilang akar mudah tumbang. Tetapi pokok yang hanya memandang akar tanpa menghasilkan buah juga tidak memenuhi tujuan kewujudannya.

Kembali kepada turath bukan bermaksud kembali ke masa lalu. Ia bermaksud kembali kepada kedalaman ilmu. Hari ini kita hidup dalam zaman maklumat yang sangat banyak.

Dalam beberapa saat, seseorang boleh mendapatkan ratusan jawapan daripada internet tetapi banyaknya maklumat tidak semestinya menghasilkan kedalaman ilmu.

Kitab turath mengajar kita untuk membaca dengan perlahan, meneliti istilah, memahami hujah, melihat perbezaan pendapat dan mengesan hubungan antara satu ilmu dengan ilmu yang lain.

Ia juga mengajar betapa ilmu memerlukan kesabaran. Ulama terdahulu tidak membina tamadun ilmu dalam sehari. Mereka membaca, menghafal, mengembara, berguru, berdiskusi, menulis, menyemak dan mengulang kaji bertahun-tahun. Sebab itu warisan mereka masih dibaca setelah ratusan tahun.

Kelebihan terbesar turath bukan semata-mata kandungan kitab, tetapi adab dalam tradisinya. Kita belajar ilmu ada guru. Ilmu ada sanad. Ilmu ada disiplin. Ilmu ada kaedah. Dan ilmu tidak sepatutnya dibina atas keyakinan bahawa “saya sahaja yang benar”.

Allah SWT berfirman: “Di atas setiap orang yang berilmu, ada lagi Yang Maha Mengetahui.” (Surah Yusuf: 76)

Ayat itu sepatutnya melahirkan kerendahan hati dalam diri seseorang penuntut ilmu. Maka, membaca kitab turath bukan sekadar membaca teks lama. Ia usaha menyambungkan diri dengan perjalanan intelektual umat Islam yang panjang.

Kita membaca al-Tabari lalu melihat bagaimana generasi awal memahami tafsir. Kita membaca al-Shafi‘i lalu memahami bagaimana hujah fiqh dibina. Kita membaca al-Bukhari dan Muslim lalu memahami ketelitian ahli hadis.

Kita membaca al-Ghazali, Ibn Rushd, al-Razi, al-Nawawi, Ibn Hajar, Ibn ‘Ashur dan ramai lagi lalu kita menyedari dunia ilmu Islam jauh lebih luas daripada apa yang sempat kita pelajari.

Akhirnya, kitab turath bukan untuk disembah tetapi untuk dipelajari. Bukan menjadikan kita terperangkap dalam masa lalu tetapi memberi akar supaya kita mampu memahami masa depan.

Kita tidak perlu menerima setiap pandangan dalam kitab turath secara membuta tuli. Sebaliknya, kita perlu membacanya dengan ilmu, adab, kritikan akademik dan kefahaman terhadap konteks.

Menghargai ulama terdahulu tidak bermaksud menganggap mereka maksum. Dan menggunakan ilmu moden pula tidak bermaksud kita perlu memutuskan hubungan dengan warisan ulama.

Jalan yang lebih matang ialah mengambil manfaat daripada kedua-duanya. Hal ini kerana, turath memberi kita akar. Ilmu semasa memberikan kita sayap. Dan umat yang mempunyai akar serta sayap akan lebih mampu bergerak ke hadapan tanpa kehilangan arah.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved