Kitacon catat untung bersih RM10.6 juta pada 1QFY23 didorong pendapatan segmen kediaman
diyana
23/05/2023 - 18:23
KUALA LUMPUR 23 Mei - Penyedia perkhidmatan pembinaan, Kumpulan Kitacon Berhad (Kitacon) telah mencatat untung bersih RM10.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), meningkat 109.2% suku ke suku berbanding RM5.1 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY23).
Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam suku ini berjumlah RM161.5 juta, peningkatan 18% berbanding RM136.9 juta dalam 4QFY23.
Peningkatan pendapatan kumpulan telah dipacu oleh segmen kediaman yang berjumlah kira-kira RM134.5 juta.
Kitacon telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 18 Januari 2023. Oleh itu, tiada perbandingan dengan suku pertama tahun sebelumnya.
Sehingga 23 Mei 2023, kumpulan itu mempunyai buku pesanan tertunggak kira-kira RM1.27 bilion yang dijangka mengukuhkannya untuk dua tahun akan datang.
Di samping itu, Kitacon mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1 sen sesaham biasa, berjumlah RM5 juta.
Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee berkata kumpulan tersebut telah memperoleh beberapa kontrak berjumlah RM618.4 juta berbanding RM601.9 juta untuk setahun penuh 2022.
Kontrak yang diperoleh bagi 2023 merangkumi kontrak pembinaan bangunan kediaman bernilai RM390.6 juta, manakala baki RM227.8 juta adalah daripada bangunan bukan kediaman khususnya bangunan perindustrian.
“Kami optimis kumpulan akan menunjukkan prestasi yang baik pada 2023, didorong oleh komitmen untuk memastikan kecekapan operasi dan mengekalkan kualiti pembinaan di samping melaksanakan kawalan kos efektif di tapak projek,” tambahnya.
Beliau berkata kumpulan itu yakin industri pembinaan untuk pembangunan perbandaran mula semakin baik, terutamanya disebabkan lebih banyak tender pembinaan ditawarkan. -DagangNews.com


