Kiulu dijangka sertai gerakan global ‘Bandar Perlahan’

LocalTravel
3 Oct 2025 • 3:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kiulu dikenal pasti untuk disenaraikan sebagai anggota ‘Cittaslow’ atau Bandar Perlahan.

Ia adalah sebuah gerakan global yang memperjuangkan pembangunan mapan berasaskan komuniti.

Potensi Kiulu diketengahkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Cittaslow Taiwan di Dongyin, Taiwan pada 5 himgga 6 September lalu.

Perkembangan ini dibentangkan kepada Jawatankuasa Produk Pelancongan Luar Bandar Lembaga Pelancongan Sabah (STB-PRTC) dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai pada Selasa.

Dalam mesyuarat PRTC itu ahli-ahli dimaklumkan bahawa Persatuan Pendidikan Bakat Malaysia dan Kolaborasi Industri-Akademia (M-TEIA) mencadangkan Kiulu sebagai calon berpotensi untuk rangkaian Cittaslow sekali gus membuka jalan untuk menjadi komuniti pertama di Malaysia yang diperakui Cittaslow.

Pekan dan kampung di bawah Cittaslow memberi keutamaan kepada kesejahteraan komuniti, penjagaan alam sekitar, keaslian budaya dan gaya hidup yang lebih perlahan.

M-TEIA memainkan peranan penting dalam menghubungkan Cittaslow Taiwan Alliance dengan inisiatif pelancongan berasaskan komuniti STB sekali gus menggalakkan kerjasama antara Taiwan dan Sabah.

Semasa Mesyuarat Agung Cittaslow Taiwan itu, Pengurus Produk STB Effendi Mahany mewakili STB dan membuat pembentangan bertajuk ‘Sabah, Malaysia’s Premier Ecotourism Destination: A Unique Journey of Culture, Adventure, and Nature.’“Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa Kiulu berada di landasan yang betul dengan usaha pelancongan berasaskan komuniti dan amat menggalakkan apabila kerja kita mendapat perhatian antarabangsa.

“Ia juga menunjukkan sejauh mana STB mampu pergi dalam usaha mengetengahkan destinasi luar bandar serta menonjolkan keistimewaan pelancongan komuniti kita,” kata Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu.

Tambahnya falsafah Cittaslow sangat selari dengan konsep pelancongan perlahan (slow travel) – di mana pelancong mengambil masa, tinggal lebih lama dan benar-benar merasai kehidupan tempatan.

“Ini sesuatu yang boleh dibangunkan oleh Sabah khususnya di tempat seperti Kiulu bagi menjadikan pelancongan perlahan dan bermakna sebagai salah satu kekuatan unik kita,” tambahnya.

Ogos lalu M-TEIA bekerjasama dengan STB dan Persatuan Pelancongan Kiulu bagi menganjurkan seminar pertukaran antarabangsa di Kiulu sekali gus mengukuhkan perkongsian ilmu dan membina hubungan dengan Universiti Nanhua, Taiwan.

Meneruskan momentum ini Persatuan Pelancongan Kiulu bekerjasama dengan Universiti Nanhua bagi menyediakan program latihan tiga tahun kepada 15 petani dengan fokus kepada penanaman nanas, pemprosesan produk dan pembangunan agropelancongan.

Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Meijin Manginggow berkata dengan bimbingan STB, kerjasama seperti ini akan terus memperkasa komuniti tempatan untuk menceburi bidang agropelancongan.

“Apa yang kami perhatikan di Kiulu ialah pelancong hari ini mahukan sesuatu daripada sekadar bersiar-siar. Mereka mahu memperlahankan langkah, menyertai kehidupan kampung, mengambil bahagian dalam aktiviti pertanian dan memahami cara kita hidup secara mampan.

“Malah pencipta kandungan turut datang ke Kiulu dan baru-baru ini kami menerima kumpulan dari Hong Kong yang meluangkan masa bersama komuniti untuk belajar dan berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

View Original Article