KJ lebar sayap perniagaan digital inovatif ke Labuan IBFC
zulfadli
13/07/2023 - 11:19
LABUAN 13 Julai - Firma teknologi kewangan (fintech) dari Jepun, KJ Group telah mengembangkan operasi perniagaan melalui pembukaan pejabat baharu di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC).
Pengarah merangkap Pegawai Utama, Kim Ki Ju berkata, pengembangan syarikat itu telah didorong oleh keyakinannya terhadap komitmen Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) sebagai pengawal selia IBFC dalam menyokong perniagaan digital yang inovatif.
Pengawal selia tersebut telah menunjukkan komitmen penuh dalam sokongannya terhadap perniagaan berkaitan kewangan digital seperti token rantaian blok, sistem pembayaran elektronik serta teknologi insurans yang diunjurkan berperanan besar dalam ekosistem kewangan global pada masa hadapan.
"Matlamat kami adalah untuk menyediakan peluang pelaburan yang telus kepada pelabur, membolehkan mereka mencapai pulangan pelaburan yang lebih stabil melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan kontrak pintar dalam kumpulan, dengan memanfaatkan teknologi rantaian blok," katanya semasa acara itu.
Ia juga berhasrat untuk menubuhkan syarikat sistem infrastruktur kewangan yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan pelanggan individu dan korporat, lapor Bernama.
"Memandangkan kami telah dilesenkan oleh Labuan FSA, kami akan menyediakan perkhidmatan kewangan digital yang kreatif termasuk kontrak pintar serta teknologi rantaian blok yang akan bertindak sebagai langkah pencegahan yang berkesan terhadap pengubahan wang haram, pembiayaan pengganas dan ancaman siber pada masa hadapan.

"Kami berazam untuk mengembangkan perniagaan kami bukan sahaja di Labuan tetapi juga dalam pasaran kewangan lain di ASEAN," tambahnya. - DagangNews.com

