Isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan masyarakat, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Baginda telah menzahirkan perasaan dukacita dan meminta tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian.
Menurut titah Seri Paduka Baginda, “Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali.”
JAKIM BERI AMARAN KERAS!
Sebagai tindak balas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. KK Chai pada 18 Mac 2024 dan memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi.
Kilang mohon maaf
Semalam, kilang yang bertanggungjawab mengimport stoking tersebut telah menutup operasinya di kawasan perindustrian Sri Gading. Ini berdasarkan kain rentang permohonan maaf yang digantung pada pagar pintu utama premis berkenaan.
Permohonan maaf yang dibuat itu dipercayai sebagai usaha untuk meredakan keadaan selepas menerima desakan dan tekanan daripada umat Islam supaya pihak kilang membuat permohonan maaf secara terbuka.
Lesen kilang dibatalkan
Selain itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) juga telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kilang berkenaan melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan berbanding yang telah diluluskan oleh MBPB iaitu stor dan pengedar kasut.
MPBP telah menyerahkan notis pembatalan lesen perniagaan dan notis penutupan operasi perniagaan kepada syarikat itu.
Sumber: Berita Harian, JAKIM, Harian Metro, MPBP
The post KK Supermart diberi amaran keras, kilang pula dibatalkan lesen & tutup operasi appeared first on The Reporter.




