KKM Akan Bertemu Pengarah Hospital Seluruh Malaysia Secara Berkala

8 Feb 2023 • 7:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Zaliha Mustafa (dua dari kiri) melawat Jabatan Kecemasan dan Trauma. - Gambar dari Facebook Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan pertemuan dengan pengarah hospital seluruh negara dan pemegang taruh secara berkala.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini.

Menurutnya, pertemuan itu adalah bagi mengenalpasti punca dan jalan penyelesaian berkaitan fasiliti kesihatan.

“Ketika ini KKM sedang menunggu maklum balas keberkesanan pelaksanaan beberapa langkah bagi mengatasi masalah di fasiliti seperti Jabatan Kecemasan (dan Trauma),” katanya.

Terdahulu, Getaran melaporkan, KKM sedang berusaha menyelesaikan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital kerajaan.

image is not available
Dr. Zaliha Mustafa berbual dengan salah seorang pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Menerusi kenyataannya, Dr Zaliha berkata, lawatan pegawai KKM ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di sebuah hospital besar yang sibuk pada Januari lalu mendapati, berlaku kesesakan kerana pesakit sepatutnya dimasukkan ke wad masih terperangkap di jabatan itu.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM sedang merangka pelan dan perancangan sistematik bagi menyelesaikan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, sekali gus terus memberikan perkhidmatan efisien kepada rakyat.

Usaha itu, katanya, bagi memastikan servis diberikan sektor lain di kementerian berkenaan adalah berkesan.

Antara usaha itu, ujarnya, KKM sedang melihat kepada semua data terkini, audit dan penyelidikan berkaitan bebanan tugas serta isu kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara, khususnya di hospital berpakar.

Jelasnya, usaha itu bagi membolehkan KKM mengenal pasti punca dan masalah terkini dihadapi jabatan berkenaan.

Kesesakan di jabatan itu, katanya, kini kembali tercetus, selepas situasi COVID-19 dilihat kian reda, apabila pesakit bukan terdiri daripada kes pandemik terbabit turut memenuhinya.

Malah, KKM, katanya, secara konsisten berusaha mengatasi masalah kesesakan itu menerusi perbincangan dan memohon keperluan dana serta kakitangan tambahan daripada agensi pusat, bagi menangani masalah peruntukan, kekurangan kakitangan, peralatan dan infrastruktur. – Getaran, 8 Februari 2023