KKM arah pengurusan fasiliti siasat aduan tanpa kompromi

LocalHealth & Fitness
10 Mar 2026 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA - Pengurusan tertinggi di setiap fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajib menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan tanpa kompromi atau melindungi mana-mana individu.

Tegas Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, kegagalan pemimpin untuk bertindak balas terhadap aduan merupakan satu kegagalan tadbir urus yang serius, berdasarkan prinsip 'failure to take action is a failure itself'.

"Pengurusan tertinggi perlu mengambil tanggungjawab mewujudkan budaya kerja yang harmoni dan penyayang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, KKM akan memperkasakan pelaksanaan pekeliling perkhidmatan yang melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun, penghinaan secara terbuka mahupun sebarang gangguan emosi yang melampaui batas profesionalisme.

"Langkah itu bagi menjamin tiada kekaburan dalam menangani isu salah laku di fasiliti kesihatan kementerian terbabit.

"Dokumen ini menjadi rujukan mandatori dalam tindakan tatatertib bagi memastikan setiap aduan diproses secara adil dan telus di semua peringkat fasiliti," jelas beliau.

Dzulkefly berkata, KKM sentiasa mengambil serius isu persekitaran kerja dan kebajikan seluruh petugas kesihatan, terutamanya dalam memastikan setiap warganya bertugas dalam persekitaran yang profesional, beretika dan berteraskan nilai-nilai Madani.