KKM Dapat Bayaran Balik Ventilator Tidak Berfungsi – PAC

25 Mar 2024 • 7:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - gambar fail

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM), yang berjaya mendapatkan bayaran balik RM16,785,910.95 bagi 104 unit ventilator yang tidak berfungsi.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata tindakan KKM itu, selaras dengan syor yang telah dilakukan oleh PAC berhubung pengurusan wabak COVID-19: Vaksin Luput Tamat Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Keselamatan Peribadi, yang dibentangkan di Parlimen pada 30 Oktober tahun lepas. 

"Tindakan KKM ini selaras dengan syor ketiga laporan itu, bahawa kementerian berkenaan perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit peralatan ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Kementerian mencadangkan wang yang diperoleh berkenaan diguna dan ditambah oleh Kementerian Kewangan (MOF), bagi memastikan ketersediaan peralatan ventilator di seluruh hospital kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata, susulan daripada syor yang dilakukan, kementerian juga telah mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan lebihan stok boot cover dan protective jumpsuit atau coverall dapat digunakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAC mahu KKM memastikan kesemua peralatan tersebut berada pada kadar optimal, bagi persediaan berlaku sebarang wabak atau pandemik. 

Sebelum ini, PAC turut mengadakan prosiding tindakan susulan berhubung laporan itu pada 7 Mac, dengan memanggil saksi iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) MOF Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Norazman Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM Datuk Dr Norhayati Rusli. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved