KKM gerakkan pasukan kesihatan sokongan mangsa kebakaran di Sandakan

LocalHealth & Fitness
20 Apr 2026 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KKM gerakkan pasukan kesihatan sokongan mangsa kebakaran di Sandakan
Dr Dzulkefly melawat pameran selepas Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas di PICC pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) telah menggerakkan pasukan kesihatan barisan hadapan bagi memberi sokongan kepada mangsa kebakaran di Sandakan, Sabah termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling dan rawatan asas di pusat penempatan sementara (PPS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejadian itu menjadi perkara yang diberi perhatian serius oleh kementerian walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh pegawai kesihatan berkaitan bahawa pasukan sokongan kesihatan mental dan perubatan telah digerakkan segera ke lokasi bagi membantu mangsa terjejas.

"KKM telah menggerakkan barisan hadapan termasuk kaunselor, jururawat serta pegawai perubatan dan pembantu perubatan (untuk memberi bantuan diperlukan)," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas, di sini pada Isnin.

Dr Dzulkefly berkata, pasukan berkenaan turut menyediakan sokongan psikososial kepada mangsa, khususnya mereka yang mengalami tekanan emosi akibat kejadian kebakaran tersebut.

Beliau berkata, KKM lazimnya bertindak pantas dalam situasi kecemasan seperti ini bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa terus terpelihara.

Kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia berlaku awal pagi Ahad, dan dilaporkan ia telah memusnahkan 1,000 rumah serta menjejaskan 9,007 penduduk. - Bernama